SALAH satu rahmat yang masih boleh dilihat penyokong Kelantan FC musim ini adalah apabila pasukan mereka berjaya menghasilkan beberapa bintang muda.
Perkara terbabit bukanlah sesuatu yang baharu memandangkan sejak awal lagi, kelab Pantai Timur tersebut sudah meletakkan harapan buat pemain kurang berpengalaman.
Ikhwan Yazek, Fazrul Amir Zaman dan Muhaimin Izuddin merupakan antara yang boleh diletakkan dalam kategori itu dengan ia merupakan musim debut mereka dalam Liga Super.
Meskipun tidak mencatatkan statistik mengagumkan, persembahan masing-masing setiap kali diturunkan masih boleh diberikan pujian.
Namun begitu, walaupun bergelar pemain muda, isu dalaman yang berlaku dalam pasukan tidak menghalang mereka untuk mengikuti jejak langkah bintang senior meninggalkan Kelantan musim depan.
Selepas Ikhwan Yazek, Muhaimin Izuddin pula menjadi pemain terbaru meninggalkan Kelantan selepas dua tahun menabur bakti buat negeri kelahirannya itu.
Pengesahan perpisahan bersama Kelantan itu dibuat menerusi laman Instagram peribadinya pada Khamis.
"Saya Muhaimin ingin mengucapkan selamat tinggal kepada TRW Kelantan.Terima kasih kepada jurulatih dan staf yang terlibat sepanjang dua tahun.
"Terima kasih juga untuk penyokong yang mendoakan kejayaan saya di sini. Semoga kita berjumpa lagi," katanya.
Ucapan perpisahan yang dibuat Muhaimin itu jatuh pada tarikh sama untuk pihak pengurusan The Red Warriors (TRW) menyerahkan bukti pembayaran tunggakan gaji kepada First Instance Body (FIB) bagi mendapatkan lesen kebangsaan musim depan.
Sekiranya gagal berbuat demikian, Kelantan tidak dibenarkan beraksi di Liga Super musim depan yang mana mereka perlu memulakan saingan musim 2024/2025 dalam Liga M3.
Khabar angin tiga pasukan Liga Super berebut untuk mendapatkan khidmat Muhaimin. — X/Nikfalovic
Sebelum ini, timbul khabar angin tiga pasukan Liga Super sedang berebut untuk mendapatkan khidmat pemain berusia 21 tahun itu.
Kedah Darul Aman FC (KDA FC) dan Sri Pahang FC antara pasukan yang disebut-sebut berminat untuk mendapatkan khidmat pemain sayap itu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram