MESKIPUN sudah tiga tahun penyerang muda negara, Luqman Hakim Shamsudin berkelana di Eropah, dia masih bergelut untuk memberikan khabar positif buat peminat bola sepak tanah air.
Ia dapat dibuktikan apabila pemain tersebut gagal menjaringkan gol dalam skuad E Elavarasan sebelum ini dalam kempen Kelayakan Piala Asia Bawah 23 Tahun (B-23).
Malah, kariernya di peringkat kelab juga tidak berjalan lancar apabila anak jati Kota Bharu, Kelantan tersebut bergelut untuk mendapatkan minit permainan bersama kelab Belgium, KV Kortijk.
Jadi, dalam usaha membangkitkan semula kariernya, Luqman memilih untuk menyertai kelab Iceland, Njardvik FC secara pinjaman dengan pasukan itu kini beraksi di liga kedua negara itu.
Situasi tersebut menyebabkan rata-rata penyokong bola sepak negara memberikannya nasihat supaya pulang dan membuktikan kebolehannya dalam Liga Super.
Luqman kini beraksi di liga bawahan Iceland secara pinjaman dari KV Kortijk. — Agensi
Di samping dapat menjawab pertikaian yang dibuat terhadapnya, langkah tersebut juga dapat memberikan ruang buat ketua jurulatih skuad B-23 negara, Juan Torres Garrido untuk menilainya secara dekat.
Nasihat-nasihat berkenaan seolah-olah didengari pemain yang turut dikenali sebagai Luqie itu dikatakan sudah menerima tawaran untuk pulang ke tanah air.
Khabar angin tersebut dikuatkan lagi apabila baru-baru ini, penyerang berusia 21 tahun dilihat sedang berlatih sambil menyarung jersi kelab Liga Super, Selangor FC.
Dalam satu video dimuat naik di laman TikTok Khansem, Luqman difahamkan sedang mengadakan sesi latihan atau pemulihan di sebuah pusat sekitar Kuala Lumpur.
Pemain tersebut seperti sedang giat memberi tumpuan dengan pakaian disarung merupakan jersi skuad Gergasi Merah musim lalu dengan nama bek kanan pasukan, Ahmad Zikri Khalili berada di belakangnya.
Penyerang muda negara, Luqman Hakim Shamsudin dilihat sedang menjalankan sesi pemulihan yang dipercayai bertempat di Kuala Lumpur.
P/s: Lawa pula jersi yang Luqie sarung tu ya
Kredit: Khansem (TikTok) pic.twitter.com/NAuJu7oeIp
— Majoriti (@majoritionline) November 29, 2023
Hantaran berkenaan jelas membuatkan orang ramai mula membuat spekulasi bahawa pemain tersebut sedia untuk pulang ke Selangor FC yang pernah disertainya sebelum berkelana ke Eropah.
Tidak cukup dengan itu, pemilik pusat pemulihan tersebut juga difahamkan seorang staf Selangor FC iaitu Jahangir Khan yang merupakan ahli fisioterapi kelab.
Malah, kemasukan Luqman ke dalam skuad Gergasi Merah juga boleh dianggap munasabah memandangkan kelab Lembah Klang itu mempunyai struktur kewangan kukuh untuk mendapatkannya.
Sekiranya skuad kendalian Tan Cheng Hoe mendapatkan khidmatnya musim depan, ia menjadi satu bayangan bahawa mereka akan memberi penekanan terhadap pembangunan pemain muda tempatan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram