Sign 2 kelab serentak, Selangor pernah mohon FAM hukum bekas bek kanan JDT


  • Podium
  • Selasa, 28 Nov 2023

Nazri (kiri) ketika mewakili JDT pada musim 2013. — Agensi

ISU pemain menandatangani dua kontrak secara serentak juga antara masalah yang sering melanda arena bola sepak tanah air sehingga perkara berkenaan terpaksa diselesaikan oleh badan induk negara.

Kira-kira 10 tahun lalu, bekas pemain pertahanan Harimau Muda, Nazri Ahmad bergelut dengan isu berkenaan selepas dia didakwa menandatangani kontrak dengan dua pasukan Liga Super iaitu Selangor dan Kelantan FA pada ketika itu.

Memetik laporan media pada 28 November 2013, Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) memfailkan aduan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang mendakwa bekas bek kanan Johor Darul Takzim (JDT) musim 2012/12 itu sudah menandatangani kontrak selama dua tahun bersama Gergasi Merah.

Anak jati Selangor itu bagaimanapun membuat pusingan U dengan menandatangani kontrak dengan Kelantan tanpa merujuk kelab Lembah Klang berkenaan dan Nazri juga membuat kejutan apabila hadir pada majlis memperkenalkan barisan pemain The Red Warriors (TRW) di Kuala Lumpur.

Setiausaha Agung FAM ketika itu, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, kes Nazri akan dibawa ke jawatankuasa status pemain badan kebangsaan itu untuk siasatan dan jika didapati bersama pemain tersebut boleh digantung selama satu tahun.

Setiausaha FAS pada tahun berkenaan, Rosman Mohd Ibrahim mengesahkan Nazri sudah menandatangani kontrak dengan Selangor selama dua tahun pada 18 November 2013 dan kontrak itu sudah dicop oleh pihak berkuasa berkaitan.

NAZRI AHMAD

Nazri (kanan) ketika beraksi bersama Kelantan pada 2014. — Facebook/Asiana

"Kami menandatanganinya dengan gaji RM18,000 sebulan dan dia sepatutnya melaporkan diri untuk latihan pada Ahad.

"Kami telah menyerahkan dokumen yang diperlukan, termasuk kontrak, sebagai bukti kepada FAM. Kami marah kepada Nazri dan kami tidak lagi memerlukannya untuk musim depan.

"Kami, bagaimanapun, mahu FAM mengambil tindakan tegas terhadapnya sebagai pengajaran kepada orang lain.

"Nazri telah ditandatangani untuk meningkatkan barisan belakang kami tetapi memandangkan dia melakukan perkara ini, kami akan berpuas hati dengan pilihan pemain lain,” katanya memetik laporan media ketika itu.

Sementara itu, Setiausaha Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) ketika tahun berkenaan, Azman Ibrahim berkata, Nazri telah bersumpah dia tidak menandatangani kontrak dengan Selangor mahupun mana-mana pasukan.

“Nazri pernah berunding dengan Selangor tetapi tidak menandatangani kontrak dengan mereka. Dia membuat pengisytiharan (mengenai statusnya) dan kami menandatanganinya selama tiga tahun.

"FAM sepatutnya mengeluarkan garis panduan berhubung isu perpindahan pemain. Mereka juga perlu dididik. Nazri bersumpah dia tidak menandatangani kontrak dengan Selangor, jadi kami mengambilnya," kata Azman pada waktu itu.

Kes berkenaan bagaimanapun diselesaikan secara baik apabila Rosman menyatakan pihaknya sudah menerima surat dari Kafa yang berhasrat menyelesaikan situasi ini tanpa dibawa kepada FAM.

Nazri akhirnya menyarung jersi skuad TRW pada musim 2014 dan beraksi hingga musim 2016 sebelum dia berpindah ke pasukan Sabah pada saingan musim 2016. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram