MEMASUKI minggu ke-25 Liga Super menyaksikan debaran peminat bola sepak tanah air kian menggunung memandangkan slot terakhir ke Asia musim depan masih belum diputuskan.
Selangor FC yang kini berada di tangga kedua dengan 52 mata dilihat sebagai pasukan pilihan dengan mereka berada dalam rentak terbaik dalam beberapa perlawanan kebelakangan ini.
Bagaimanapun, kedudukan mereka masih belum cukup meyakinkan apabila pencabar terdekat, Kedah Darul Aman (KDA) FC hanya dibezakan dengan dua mata berbanding skuad Gergasi Merah.
Jadi, tidak hairanlah apabila orang ramai seakan-akan tidak dapat lagi menunggu untuk pertembungan kedua-dua pasukan di Stadium Darul Aman, Kedah pada Sabtu ini.
Tekanan pastinya berpihak kepada Selangor FC yang pastinya mahu menamatkan penantian beraksi di peringkat Asia selepas kali terakhir merasainya pada 2016.
Pertembungan kedua-dua pasukan sebelum ini menyaksikan skuad Gergasi Merah meraih kemenangan. — Facebook/Selangor FC
Tambahan pula, aksi yang berlangsung di negeri jelapang padi tersebut boleh dianggap sebagai satu cabaran buat mereka meskipun pengendali ketika ini, Tan Cheng Hoe cukup berpengalaman di venue berkenaan.
Oleh itu, perlawanan itu sememangnya akan dinantikan dengan KDA FC juga pastinya tidak mahu mensia-siakan peluang bersinar lebih baik musim depan.
Bagaimanapun, bagi bekas ketua jurulatih Kedah FA, Azraai Khor Abdullah, sukar untuk menilai siapakah yang bakal membawa pulang tiga mata daripada aksi dinanti-nantikan itu.
"Selagi tak habis perlawanan, kita tak tahu siapa yang menang. Kelebihan mungkin berpihak kepada Kedah, tapi kalau kita tengok prestasi pasukan, Selangor FC berada dalam momentum terbaik," katanya kepada Majoriti.
Berdasarkan informasi semasa, naib juara Liga Super bakal bersaing dalam Liga Juara-Juara AFC (ACL) 2 musim depan selepas Piala AFC digantikan dengan Piala Cabaran AFC.
Azraai (dua dari kiri) pastinya tahu kelebihan sebenar skuad Sang Kenari.
Selain itu, mereka juga ditawarkan slot memandangkan Johor Darul Takzim (JDT) yang ditabalkan juara Liga Super turut menjulang Piala FA 2023 sebelum ini.
Selepas pertembungan tersebut, skuad Gergasi Merah bakal berdepan PDRM FC di Stadium MBPJ, Selangor sementara KDA FC akan berkunjung ke Stadium Likas, Sabah dengan kedua-dua perlawanan akan diadakan pada 17 Disember.
Perlawanan berkenaan juga boleh dianggap cukup getir buat skuad Sang Kenari memandangkan Sabah FC juga bukanlah kelab yang boleh dipandang rendah musim ini.
Bagaimanapun, bagi Azraai, mereka perlu menerima cabaran itu meskipun mengetahui ia adalah satu tugasan sukar untuk memastikan kemenangan.
"Ia adalah perlawanan rumit. Tetapi, apa sekali pun, KDA FC perlu harungi kerana jadual sudah ditetapkan sebegitu. Jadi, mereka tidak ada pilihan lain," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram