Lupakan Ayron atau Foriestieri, 3 import Liga M ada peluang kedua gegar senarai 'top scorer' musim depan


  • Podium
  • Rabu, 29 Nov 2023

Ebenezer membawa pulang Kasut Emas Piala MFL selepas menjaringkan 16 gol daripada 20 penampilan. — Facebook/KDA FC B

TIDAK boleh dinafikan bahawa kehadiran pemain import cukup penting dalam membuatkan saingan Liga Super semakin kompetitif beberapa musim kebelakangan ini.

Situasi berkenaan turut disaksikan pada 2023 dengan hampir kesemua kelab memberi kepercayaan penuh buat mereka untuk setiap hari perlawanan.

Johor Darul Takzim (JDT) yang kerap menurunkan Bergson da Silva dan Heberty Fernandes merupakan antara contoh terbaik untuk menceritakan perihal itu.

Pasukan bergelut Liga Super 2023, Kuching City FC juga memberikan kepercayaan penuh buat pemain import mereka, terutamanya penyerang dari Liberia, Abu Kamara yang menjaringkan majoriti daripada gol mereka.

2103353

Bergson merupakan import paling unggul dalam Liga Super musim ini.

Meskipun kebergantungan tersebut menimbulkan rasa kurang senang, ia tidak boleh dinafikan sebagai antara punca utama arena bola sepak tempatan semakin merancakkan.

Bagaimanapun, di sebalik lambakan pemain import bersinar, masih terdapat sebahagian daripada mereka yang terus bergelut untuk mempamerkan kebolehan masing-masing.

Selain berdepan isu kecederaan, ada di antara pemain luar negara kurang mendapatkan kepercayaan daripada ketua jurulatih masing-masing.

Tetapi, kesukaran minit permainan dijangka tidak memberi kesan memandangkan masih terdapat peluang untuk membuktikan kualiti dimiliki musim depan.

Berdasarkan pemerhatian Majoriti, terdapat tiga import yang dijangka 'meletup' musim depan selepas lebih kerap menunggu peluang sepanjang tahun 2022.

Malah kehadiran mereka ini tidak mustahil mampu menjadi pencabar baharu senarai penjaring terbanyak pada musim depan.

Bagi perebutan musim ini, senarai kini didahului Ayron del Valle dari Selangor FC (22 gol), Fernando Forestieri dari JDT (19 gol) dan Bergson (18).

1. Ebenezer Assifuah (Kedah Darul Aman FC)

Musim ini menyaksikan Kedah Darul Aman FC (KDA) FC sering bertukar import, lebih-lebih lagi untuk menguatkan barisan serangan pasukan.

Penyerang import Brazil, Willian Lira merupakan pemain yang diberikan peranan itu pada awal musim dengan rakan senegara, Jonathan Balotelli beraksi sebagai pemain gantian.

Namun, keputusan Lira untuk meninggalkan skuad Sang Kenari pada pertengahan musim menyaksikan pihak pengurusan mendapatkan import berpengalaman, Ifedayo Olusegun.

2385751

Ebenezer masih belum merasai pengalaman dalam Liga Super musim ini. Facebook/KDA FC B

Tetapi, kehadiran ketiga-tiga pilihan tersebut masih belum membuahkan hasil apabila sebahagian penyokong Hijau Kuning mahu penyerang kelahiran Ghana, Ebenezer Assifuah untuk diturunkan.

Pemain yang diletakkan dalam skuad Piala MFL Sang Kenari itu mencuri nama selepas muncul sebagai penjaring terbanyak dengan 16 gol daripada 20 penampilan.

Pulangan berbaloi berkenaan meletakkan namanya sebagai import terbaik meskipun kebolehannya masih belum dibuktikan dalam Liga Super.

Jadi, sekiranya pengendali pasukan, Nafuzi Zain mampu memberikannya peluang, terdapat kemungkinan pemenang Kasut Emas Piala Dunia Bawah 20 Tahun (B-20) pada 2013, akan menggegarkan senarai pemain terbanyak musim depan.

2. Rauf Salifu (Selangor FC)

Selain KDA FC, Selangor FC juga kerap menurunkan penyerang import baharu dengan keputusan tersebut membuahkan hasil apabila mereka kini sudah menjaringkan 68 gol daripada 24 perlawanan.

Ayron del Valle dan Richmond Boakye merupakan pilihan utama buat Tan Cheng Hoe dengan masing-masing memiliki kebolehan tersendiri.

Namun, di sebalik nama dua penyerang utama itu, penyokong Selangor FC pastinya sukar melupakan nama pemain muda, Rauf Salifu yang dibawa masuk dari kelab Ghana, Accra Lions.

20230121_133854-800x1000

Rauf hanya mengumpul lima penampilan Liga Super setakat ini. Facebook/Selangor FC

Dia yang pada awalnya beberapa kali diberikan peluang mempamerkan kebolehan dengan kesemua lima daripadanya adalah penampilan dari bangku simpanan.

Bagaimanapun, ia tidak menghalang pemain berusia 21 tahun tersebut daripada mencetak jaringan apabila dia meledak dua gol ketika skuad Gergasi Merah berdepan Kelantan FC di laman sendiri.

Sekiranya Selangor FC bertindak menggugurkan del Valle dan Boakye untuk musim depan, tiada alasan bahawa Rauf tidak akan dapat minit permainan dengan kerap.

Di samping itu, pengalaman lalu turut menyaksikan kelab Lembah Klang itu sering meletakkan import mereka dalam skuad simpanan sebelum mampu membuktikan kebolehan seperti Alex Agyarkwa dan Richmond Ankrah sebelum ini.

3. Abdul Abdeen Temitope (Penang FC)

28 gol daripada 24 perlawanan Liga Super menceritakan bahawa Penang FC merupakan antara pasukan paling tumpul di hadapan pintu gol lawan musim ini.

Ketiadaan penyerang berkualiti serta pendekatan taktikal tidak menentu menyaksikan skuad Harimau Kumbang untuk mencetak jaringan dengan lebih kerap.

Tetapi, situasi tersebut segera berubah dalam aksi baru-baru ini apabila pasukan Utara tanah air berkenaan menjaringkan tiga gol ketika berdepan Sri Pahang FC.

405872689_888998242740831_7025705799507824687_n

Abdul Abdeen menjaringkan dua gol ketika skuad Harimau Kumbang menewaskan Sri Pahang FC. Facebook/Sri Pahang FC

Antara yang berjaya mencetak nama dalam perlawanan itu ialah pemain import, Abdul Abdeen Temitope dengan ia merupakan jaringan pertamanya sejak menyertai awal musim lalu.

Pencapaian itu boleh dikatakan terhasil berpunca daripada perubahan ketua jurulatih yang menyaksikan Akmal Rizal Ahmad Rakhli hadir menggantikan Chong Yee Fatt sebagai pengendali sementara.

Sekiranya jurulatih muda berkenaan kekal musim depan, tiada penghalang buat penyerang kelahiran Republik Ireland itu untuk menjaringkan gol dengan lebih kerap.

Namun, persoalan mengenai masa depannya bersama Penang FC pastinya timbul memandangkan pihak pengurusan kelab sebelum ini menyuarakan kecenderungan mereka untuk menggunakan pemain tempatan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram