TINDAKAN kurang cerdik daripada pemain pertahanan import, Yazan Al-Arab yang menendang pengadil selepas aksi suku akhir Piala Malaysia antara Terengganu FC dan Selangor FC pada 24 September lalu jelas membawa padah.
Dalam insiden di Stadium MBPJ, Selangor itu, pemain antarabangsa Jordan itu melakukan kekasaran ke atas Hasrol Mohd Amir sebagai tanda protes selepas layangan kad merah.
Kejadian berkenaan kemudiannya tiba di pengetahuan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang mengambil masa beberapa bulan untuk membincangkan nasibnya.
Jadi, pada 20 November lalu, mereka mengumumkan bek tengah itu dikenakan penggantungan seumur hidup daripada sebarang aktiviti bola sepak dalam negara.
Keputusan tersebut dibuat kerana dia didapati melanggar Artikel 51, perenggan 1(a) dan Artikel 59 yang turut dibacakan dengan Artikel 43 Kod Tatatertib FAM.
Yazan diumumkan sebagai bek tengah baharu Al Shorta SC baru-baru ini. — Facebook/Al Shorta SC
Meskipun Selangor FC masih boleh membuat rayuan, pasukan Lembah Klang berkenaan seperti sudah tidak lagi berminat untuk mendapatkan khidmat Yazan pada masa akan datang dengan alasan isu disiplin.
Oleh itu, dalam meneruskan kariernya, pemain berusia 27 tahun tersebut bertindak mencari angin baharu dengan menyertai sebuah kelab di Iraq, Al Shorta SC.
Dalam satu hantaran di laman media sosial pasukan kelab Arab itu, mereka mengumumkan kehadiran Yazan sebagai satu rekrut yang pastinya mampu mengukuhkan lagi benteng pertahanan mereka.
Keputusan Yazan itu boleh dianggap sebagai satu langkah tepat memandangkan kelab itu merupakan juara Liga Perdana Iraq buat dua tahun berturut-turut.
Mereka juga kini berada di landasan tepat untuk mempertahankan gelaran tersebut dengan pasukan kendalian Chiheb Ellili itu kini menduduki tangga ketiga liga selepas lima perlawanan.
Al Shorta SC merupakan kelab keempat dalam karier Yazan dengan pertahanan kental berkenaan pernah beraksi dalam Liga Perdana Jordan bersama Al Jazeera dan Al Wehdat selain Liga Super bersama Selangor FC. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram