PERLAWANAN Liga Super bakal kembali mewarnai liga bola sepak tempatan dengan pertembungan menarik antara Selangor FC berdepan Perak FC yang akan berlangsung pada 25 November nanti.
Pasukan Selangor FC perlu memanfaatkan peluang tersebut untuk meraih tiga mata sekiranya ingin kekal berada pada kedudukan kedua liga.
Dalam pada itu, Gergasi Merah disarankan agar tidak memandang rendah skuad Seladang yang kini dilihat berada dalam momentum terbaik.
Skuad kendalian Yusri Che Lah itu pernah mengejutkan penyokong tanah air selepas menewaskan dua pencabar liga iaitu Kedah Darul Aman (KDA) FC dan Sabah FC pada saingan Piala Malaysia.
Melihat kepada prestasi semasa Selangor, kehilangan bek tengah import, Yazan al-Arab dijangka memberi impak terhadap benteng pertahanan skuad Gergasi Merah.
Hal ini kerana, pasukan Lembah Klang itu hanya mempunyai dua pemain import iaitu Safuwan Baharudin dan Richmond Ankrah.
Harith Haikal antara pemain Selangor yang membantu skuad B-23 negara. — Facebook/selangorfc
Membincangkan akan perkara tersebut, penyokong di sebuah laman media sosial Facebook, Analisis Bola Tranung mendapati bahawa Selangor perlu berani untuk meletakkan kepercayaan sepenuhnya kepada bek tengah tempatan sama seperti pasukan Terengganu FC (TFC) yang tidak bergantung kepada pemain import.
Antara bek tengah yang sering berada dalam kesebelasan utama Sang Penyu ialah Shahrul Nizam Ros Hasni, Safwan Mazlan dan Ubaidullah Shamsul.
"Sebagaimana TFC tidak lagi bergantung dengan pemain import di bahagian pertahanan, Selangor juga antara pasukan yang dilihat mampu berbuat demikian jika pengendali Selangor, Tan Cheng Hoe berani meletakkan kepercayaan sepenuhnya kepada Sharul Nazeem dan Harith Haikal sebagai duo centre-back (CB).
"Langkah jurulatih TFC, Tomislav Steinbruckner itu telah membuka mata jurulatih-jurulatih lain untuk tidak lagi seakan-akan mewajibkan seorang kuota import di CB. Tetapi itu pun jika mereka mempunyai CB tempatan yang baik.
"Kita lihat di Selangor, antara CB muda yg sangat menarik perhatian ialah Harith Haikal. Dia kini dilihat mampu mengetepikan Sharul Nazeem di kesebelasan utama," katanya.
Meskipun hanya berketinggian 1.71 meter, Harith dilihat mempunyai kelebihan untuk membaca corak perlawanan lawan.
"Walaupun ketinggiannya sedikit kurang, namun pembacaan perlawanan sangat mantap. Kekuatan fizikal pun ada dan yang paling istimewanya ialah dia kini mampu menjaringkan gol dengan agak kerap. Goal scoring defender.
"Tentunya, dia tidak asing lagi untuk skuad Bawah 23 Tahun kebangsaan. Dia dan Ubai di skuad ini nampaknya kini telah masing masing melalui sebuah 'progress' yang baik untuk masa depan bola sepak kebangsaan.
"Kedua-duanya sudah mula menapak di skuad utama pasukan masing masing.
"Cuma mereka berbeza umur setahun. Harith Haikal kalau tak silap batch pertama Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) iaitu satu batch dengan Luqman Hakim, Umar Hakeem Suhar Rezwan (Johor Darul Tazkim 2), Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman (Negeri Sembilan), Zikri Khalili (Selangor) dan Azrin Afiq Rusimi (KDA FC)," tulisnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram