FAM denda JDT, Selangor


  • Podium
  • Isnin, 20 Nov 2023

Dua pasukan teratas Liga Super itu menerima hukuman dari badan induk bola sepak tanah air. — Facebook/JDT

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) memberi hukuman ke atas Johor Darul Takzim (JDT) dan Selangor FC susulan kes salah laku melibatkan penyokong, pemain dan beberapa pegawai kelab dałam perlawanan di bawah seliaan badan induk bola sepak negara itu.

Keputusan itu dibuat oleh Jawatankuasa Tatatertib FAM yang bermesyuarat buat kali ke-14 bagi penggal 2021-2025 di Wisma FAM, Kelana Jaya, Petaling Jaya, Selangor pada Isnin.

Menerusi kenyataan dikeluarkan FAM pada Isnin, Harimau Selatan menerima hukuman untuk dua kesalahan membabitkan penyokong mereka ketika Malaysia Premier Futsal League (MPFL) 2023 dan Final Piala FA 2023 menentang Kuala Lumpur (KL) City FC.

Ketika aksi MPFL 2023 antara JDT menentang Selangor MAC di Stadium Bandaraya Pasir Gudang pada 27 Mei 2023, penyokong kelab Selatan tanah air itu difahamkan melakukan provokasi terhadap penyokong pihak lawan dan kemudiannya mengerumuni, mengejar serta menyerang mereka sebelum sempat menaiki bas.

BACA LAGI: Dikhabar tinggalkan Selangor, Ayron setuju sain kontrak 2 tahun minggu ini

Kes kedua pula melibatkan seorang penyokong pasukan Warga Kota dipukul oleh individu yang tidak dikenal pasti sehingga menyebabkan kecederaan yang serius semasa Final Piala FA 2023 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada 22 Julai 2023.

Dengan kedua-kedua kesalahan melanggar Artikel 68 Kod Tatatertib FAM yang dibaca bersama Artikel 69 Kod Tatatertib FAM, JDT didenda RM15,000 bagi setiap kesalahan serta diberi amaran keras dan hukuman yang lebih berat akan dikenakan jika mengulangi kesalahan yang sama.

WhatsApp Image 2023-11-20 at 16.07.22

Tangkap layar kekecohan penyokong JDT dan Selangor MAC.

Bagaimanapun, badan induk bola sepak tanah air tersebut masih memberi peluang dengan keputusan tersebut masih boleh dirayu oleh juara Liga Super buat kali ke-10 berturut-turut itu.

Selangor FC pula dikenakan denda daripada badan induk bola sepak negara tersebut dengan jumlah terkumpul RM23,000 membabitkan tiga pertuduhan ketika perlawanan suku akhir kedua Piala Malaysia 2023 antara Selangor dan Terengganu di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Kelana Jaya pada 24 September lalu.

BACA LAGI: TMJ 'basuh' penyokong kritik pemain HM, sempat perli kalau sayang vc dengan Brendan Gan

"(Pertuduhan 1), akibat satu insiden baling botol air yang datang dari kawasan tempat duduk penonton ke arah Pegawai Pertandingan (Pertuduhan 2) dan didapati gagal untuk mematuhi obligasi penganjuran sehingga menyebabkan kejadian yang tidak diingini berlaku seperti cermin kereta Pegawai Perlawanan pecah, insiden baling botol dari tempat duduk penonton ke arah Pegawai Perlawanan, insiden baling botol oleh pegawai Selangor FC ke arah Kumpulan Pengadil di dalam terowong semasa bergerak ke bilik persalinan dan gagal memastikan keselamatan Kumpulan Pengadil selepas perlawanan (Pertuduhan 3)," memetik kenyataan FAM.

Manakala perilaku lima pegawai Gergasi Merah iaitu Pegawai Pasukan, Syafiq Iqmal Fozi; Mohd Fadhli Mohd Zahari; Pengurus Komuniti, Amirul Aswad Subro; Pengurus Aset, Wan Ajmal Wan Abdullah dan Ketua Marshall, Jayabalan a/l Muniandy masing-masing menerima hukuman.

WhatsApp Image 2023-11-20 at 16.07.22 (1)

Insiden Yazan menendang pengadil selepas perlawanan suku akhir kedua Piala Malaysia di Stadium MBPJ.

Berdasarkan kenyataan dari badan induk bola sepak tanah air itu, ada di antara mereka dikenakan denda sebanyak RM10,000 sementara ada juga yang didenda sejumlah RM5,000 dengan rayuan masih boleh/tidak boleh dibuat.

Sementara itu, bekas pemain Selangor FC (SFC), Yazan Al-Arab menerima hukuman padah apabila 'diharamkan' daripada terbabit dengan sebarang aktiviti bola sepak di negara ini susulan tindakannya menyepak pengadil pada aksi suku akhir kedua Piala Malaysia di MBPJ tersebut.

"Apabila Pengadil Perlawanan memusingkan badan untuk pergi, pemain ini telah menarik bahu dan seterusnya menolak dengan daya yang berlebihan di bahagian dada Pengadil Perlawanan (Pertuduhan 1) dan apabila setelah dilayangkan kad merah, pemain ini secara agresif telah menyerang dengan menyepak ke bahagian punggung kiri dan telah meludah ke arah Pengadil Perlawanan (Pertuduhan 2)," tulis FAM. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram