Jadi nadi pasukan, inilah 3 pemain B-23 termahal dalam skuad Gergasi Merah


  • Podium
  • Ahad, 08 Okt 2023

Mukhairi Ajmal merupakan pemain bawah 23 tahun termahal dalam skuad Selangor FC. — Facebook/Selangor FC

TIDAK dinafikan, setiap tahun pasti akan ada pemain muda menyerlah yang muncul dalam skuad Selangor FC.

Sejak dari dulu lagi, Selangor sentiasa menghasilkan ramai pemain berbakat yang kemudiannya memberikan impak kepada pasukan kebangsaan.

Musim ini juga, Selangor ditunjangi dengan beberapa pemain muda yang kemudiannya turut berbakti buat Harimau Malaya di peringkat antara bangsa.

Dalam analisis ringkasi Majoriti kali ini, kita akan menyingkap tiga pemain bawah 23 tahun (B-23) paling tinggi nilainya dalam skuad Selangor.

1. Quentin Cheng

Pemain pertahanan kanan ini merupakan antara pemain B-23 paling kerap mendapat kepercayaan Tan Cheng Hoe dalam skuad Selangor.

Menurut laman Transfermarkt, bekas pemain Penang FC ini dinilaikan pada jumlah €200 ribu (RM1 juta). Sebelum ini, Cheng bukanlah pemain yang sering mendapat perhatian apabila melibatkan pasukan kebangsaan.

385466907_18386718946006712_4344157218087684903_n

Quentin Cheng merupakan pertahanan kanan utama Selangor. — Facebook/Selangor FC

Namun begitu, dia kini sudah berjaya menangkap perhatian Kim Pan-gon dan sering diselitkan dalam panggilan Harimau Malaya kebelakangan ini. Jika kena cara, Cheng boleh ikut terbang ke Qatar tahun depan bagi menghadapi Piala Asia.

Dia mungkin kerap mendapat kritikan daripada penyokong, tetapi sedikit demi sedikit Cheng membuktikan dirinya layak menyarung jersi Selangor.

2. Sharul Nazeem

Pemain yang mesra disapa dengan nama Afro ini merupakan prospek muda yang mengujakan penyokong Selangor ketika kemunculan awalnya.

Dianggap membawa angin baharu kepada barisan pertahanan, maka tidak hairan jika Sharul dinilaikan pada jumlah €225 ribu (RM1.1 juta) dan kekal sebagai antara pemain muda termahal dalam skuad Selangor.

382993780_18385606465006712_5801128161599081026_n

Sharul Nazeem dikenali sebagai Afro dalam kalangan penyokong. — Facebook/Selangor FC

Tempatnya kini mungkin sudah hilang kepada Harith Haiqal, tetapi dengan ketiadaan Yazan al-Arab, Sharul berpeluang untuk kembali ke kesebelasan utama dan mendapatkan semula kepercayaan Tan Cheng Hoe.

Tambahan pula, Sharul sendiri adalah pemain kebangsaan jadi adalah tidak wajar untuk dirinya tidak beraksi lebih-lebih lagi Piala Asia semakin hampir.

Kontraknya bersama Selangor akan tamat pada tahun ini, jika Selangor berminat untuk mengekalkanya maka mereka perlu pantas mengikatnya.

3. Mukhairi Ajmal

Pemain tengah ini merupakan bintang B-23 termahal dalam skuad Selangor apabila dinilaikan pada jumlah €275 ribu (RM1.4 juta).

Penyarung jersi nombor 10 ini dikenali sebagai pemain yang boleh beraksi di pelbagai posisi tengah, tetapi masa kini Mukhairi lebih kerap diturunkan untuk sebagai pemain tengah menyerang.

Sering menjadi wild card Pan-gon dalam skuad kebangsaan, Mukhairi merupakan pemain yang besar potensinya dan perlu diasah lebih lagi agar dia menjadi bintang utama negara di masa akan datang.

Masih berusia 21 tahun, Mukhairi masih mempunyai masa untuk membentuk permainannya dalam usaha menjadi pemain tengah yang berjaya dalam era bola sepak moden Malaysia.

Masih ramai yang menanti

Ini mungkin adalah tiga pemain B-23 termahal dalam skuad Selangor tetapi sebenarnya mereka ada ramai lagi yang berbakat dan boleh berkembang hebat jika terus diberikan peluang.

Harith Haiqal, Syahir Bashah dan Izwan Yuslan antara nama-nama yang jika ditatah dengan baik, maka Selangor tidak perlu risau kerana mereka tidak akan kekurangan bakat tempatan untuk membawa cabaran Gergasi Merah.

Cuma, pengurusan perlu bijak menilai pemain dan pantas bertindak. Jika satu-satu pemain tersebut mempunyai potensi besar, ikatlah dia dengan kontrak panjang supaya Selangor tidak kerugian.

Jika ada pasukan yang berminat, maka jual dan kenakan yuran perpindahan supaya kantung kewangan Selangor tidak kosong. Sebaliknya, Gergasi Merah yang untung. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram