'Betul kami ada buat silap', Aladdin Mostafa kata tak salah jadi penyokong tegar tapi ada hadnya


  • Podium
  • Selasa, 21 Nov 2023

Dua pasukan teratas Liga Super itu menerima hukuman dari badan induk bola sepak tanah air. — Agensi

HUKUMAN dikenakan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) terhadap Selangor FC atas beberapa beberapa kesalahan semasa saingan Liga Malaysia (Liga M) 2023 akan menjadi pengajaran terbaik buat pasukan itu bagi mengharungi musim depan.

Ketua Pengawai Operasi Selangor FC, Aladdin Mostafa berkata, pasukan itu mengambil tanggungjawab sepenuhnya terhadap hukuman tersebut yang disifatkan wajar susulan tindakan pemain, pegawai serta penyokong pasukan berkenaan.

"Ia betul kami ada buat silap berdasarkan kelakuan dan serta pertuduhan-pertuduhan dinyatakan, harapnya ia akan jadi pengajaran buat kami di pihak pengurusan dan staf terlibat.

"Selepas ini kami akan lebih menerapkan budaya kurang agresif dan beremosi selain meminta penyokong untuk bersama-sama mengelakkan perkara itu daripada berulang. Tak salah nak jadi penyokong tegar tapi ada batasnya,” katanya.

Menerusi kenyataan dikeluarkan FAM pada Isnin, Selangor FC antara pasukan yang menerima padah apabila dikenakan hukuman denda oleh Jawatankuasa Tatatertib FAM selepas melakukan beberapa kesalahan semasa saingan Liga Malaysias 2023.

Skuad The Red Giants didenda RM23,000 terhadap tiga pertuduhan yang tidak boleh dirayu berikutan kesalahan dilakukan semasa perlawanan suku akhir kedua Piala Malaysia 2023 antara Selangor FC berdepan Terengganu FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Kelana Jaya pada 24 September lepas.

Antara kesalahan itu, membabitkan insiden baling botol air dari kawasan tempat duduk penonton ke arah pegawai pertandingan, serta insiden baling botol oleh pegawai Selangor FC ke arah kumpulan pengadil di dalam terowong semasa bergerak ke bilik persalinan selain gagal memastikan keselamatan pengadil selepas perlawanan itu.

Dalam pada itu, seorang pemain dan lima pegawai Selangor FC turut dikenakan hukuman yang melibatkan jumlah keseluruhan denda RM65,000 dan beberapa tindakan dikenakan bergantung kepada kesalahan setiap individu pada perlawanan tersebut.

Selain itu, bekas pemain Selangor FC, Yazan Al-Arab digantung daripada terlibat dengan sebarang aktiviti bola sepak di Malaysia ekoran tindakannya menyepak pengadil pada aksi suku akhir kedua Piala Malaysia. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram