[VIDEO] Perebutan juara trofi Piala Malaysia ke-102 dihiasi memori nakal bintang Liga M


  • Podium
  • Ahad, 05 Nov 2023

JDT dan Terengganu dijadual akan bertemu pada 9 Disember 2023 bagi pentas akhir Piala Malaysia. — Facebook/JDT

SEPERTI ulangan final Piala FA musim lepas, Johor Darul Takzim (JDT) dan Terengganu FC (TFC) sekali lagi akan beradu kekuatan untuk menentukan pasukan manakah akan membawa pulang trofi ke-102 Piala Malaysia dalam perlawanan akhir yang dijadualkan berlangsung pada 9 Disember nanti.

Harimau Selatan pastinya pasukan pilihan untuk menjuari trofi Piala Malaysia musim ini terutamanya selepas mencatat rekod tanpa kalah dan kemenangan besar ke atas Perak FC 8-1 yang menyaksikan JDT menang 12-2 secara agregat dalam aksi separuh akhir kedua di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada Khamis lalu.

Manakala, skuad Sang Penyu pula melewati perjalanan yang cukup bergaya dengan mengatasi pasukan pilihan, Selangor di suku akhir sebelum menamatkan cabaran Kuala Lumpur (KL) City di separuh akhir dengan kemenangan 4-2 secara agregat pada Sabtu di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, Terengganu.

Selain menyaksikan perjalanan suka-duka kedua-dua pasukan itu ke pentas akhir Piala Malaysia, pelbagai insiden turut berlaku dan mewarnai sepanjang kejohanan berkenaan sehingga menjadi bualan hangat penyokong bola tempatan.

Antara insiden yang berlaku adalah pembabitan beberapa pemain dalam suasana tegang sehingga ada di antara mereka dikenakan tindakan hukuman setimpal daripada kelab dan badan penganjur.

Kali ini Majoriti menyenaraikan tiga ragam pemain seperti sanggup tunjukkan sisi nakal mereka gara-gara ingin mendapatkan tiket ke pentas final Piala Malaysia;

1) Bonai sepak muka Seon-ung

WhatsApp Image 2023-11-04 at 16.10.08

Tangkap layar Rodney sepak wajah pemain Korea Selatan skuad TBG.

Perjalanan Perak FC sebelum berhasil ke peringkat separuh akhir terpalit dengan insiden menyayat hati apabila pemain sayap Korea Selatan, Seo Seon-ung patah hidung ditendang di muka oleh pemain Kedah Darul Aman (KDA) FC, Rodney Celvin dalam aksi pertama pusingan 16.

Rodney menendang muka penyerang sayap skuad Seladang itu pada separuh masa kedua ketika Sang Kenari sedang ketinggalan 2-1 yang mana pemain dengan gelaran Bonai itu memberi tindak balas selepas dikasari oleh Seon-ung.

Pengadil perlawanan, Muhammad Usaid Jamal tidak teragak-agak untuk terus melayangkan kad merah ke atas pemain pertahanan itu dan Rodney turut terlepas aksi kedua di laman sendiri yang mana menyaksikan Kedah terpaksa mengucap selamat tinggal kepada Piala Malaysia.

Dalam pada itu, perkembangan terkini mengenai pemain pertahanan kacukan Bidayuh-Ghana itu ialah Rodney sah meninggalkan skuad Hijau Kuning meskipun mempunyai baki kontrak lagi semusim bersama Sang Kenari.

2) Yazan tendang pengadil

WhatsApp Image 2023-11-04 at 16.09.41

Insiden Yazan menendang Hasrol selepas perlawanan suku akhir kedua Piala Malaysia di Stadium MBPJ.

Insiden berbaur keganasan lagi apabila import Selangor FC, Yazan Al-Arab menendang pengadil ketika perlawanan suku akhir kedua Piala Malaysia antara Gergasi Merah menentang TFC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada September lalu.

Sebelum bek tengah itu ‘naik hantu’ menendang Mohd. Hasrol Mohd. Amir, Yazan dilayangkan kad merah selepas wisel penamat dibunyi kerana mempertikaikan keputusan pengadil tersebut.

Dalam perlawanan itu menyaksikan keputusan berpihak kepada Terengganu dan Gergasi Merah tewas dengan agregat 3-1 dan secara tidak langsung gagal mara ke perlawanan separuh akhir Piala Malaysia.

Selepas pihak pengurusan Gergasi Merah menjalankan satu prosiding tatatertib, Selangor FC terpaksa menamatkan kontrak Yazan sera-merta ekoran tindakan kurang bermoral yang dilakukanya terhadap pegawai perlawanan.

3) Mat Don jatuhkan badan

Pemain naturalisasi negara, Liridon Krasniqi mencuri tumpuan apabila dia dilihat sengaja menjatuhkan badannya daripada pengusung ketika pasukan perubatan sedang menuju ke luar kawasan padang.

Tindakan ketika masa kecederaan perlawanan separuh akhir kedua antara Terengganu dan KL City itu nyata mengundang padah apabila pengadil perlawanan, Nazmi Nasaruddin melayangkan kad kuning kepada Liridon yang disyaki melewat-lewatkan permainan.

Tindakannya itu juga bukan hanya menjadi bualan penyokong domestik, malah laman Twitter (X) bola sepak antarabangsa iaitu Out Of Context Football juga memuat naik aksi licik pemain dengan gelaran Mat Don dalam kalangan peminat tanah air itu.

Walaupun Liridon mencuri tumpuan dengan kenakalannya namun penyokong Terenggany rata-rata memuji persembahan pemain 31 tahun itu apabila membantu membuat satu hantaran bantuan kepada Ivan Mamut dalam perlawanan berkenaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram