KEHADIRAN Ifedayo Olusegun sebagai penyerang utama Kedah Darul Aman (KDA) FC banyak membawa perubahan terhadap kelab Utara tanah air tersebut.
Pengalamannya beraksi dalam Liga Super membolehkannya menyesuaikan diri dengan segera dalam membantu meningkatkan keupayaan jentera serangan pasukan.
Ia dibuktikan apabila pemain kelahiran Nigeria itu sudah menjaringkan 12 gol daripada sembilan penampilan Liga Super, yang mana boleh dianggap sebagai satu pulangan berbaloi.
Catatan berkenaan turut diharumkan lagi apabila penyerang tersebut mencatatkan empat jaringan ketika skuad Sang Kenari berdepan Kelantan FC di tempat lawan pada Ahad.
Pulangan berbaloi masih belum cukup untuk Ifedayo menambat hati penyokong Hijau Kuning. — Facebook/KDA FC
Jadi, rekod tersebut sudah cukup bagi sesetengah pihak untuk mengharapkannya kekal dalam mengemudi barisan pasukan untuk tahun-tahun akan datang.
Namun, di sebalik pujian diberikan, masih terdapat sebahagian besar penyokong Hijau Kuning yang kurang senang dengan gaya permainan Ifedayo.
Meskipun menjaringkan empat gol di Stadium Sultan Muhammad ke-IV, pemain berkenaan juga beberapa kali mensia-siakan peluang di hadapan gawang skuad The Red Warriors (TRW).
Kritikan tersebut disusuli dengan desakan daripada mereka yang mengharapkan supaya bekas penyerang Selangor FC itu untuk digantikan pada musim akan datang.
Walaupun tidak menyatakan pengganti terbaik buat Ifedayo, Majoriti memilih untuk menyenaraikan tiga calon yang boleh memikul peranan tersebut pada 2024.
1. Gustavo Almeida
Penyerang kelahiran Brazil, Gustavo Almeida pernah membawa keterujaan dalam landskap bola sepak negara ketika dia beraksi dalam Liga Super bersama Negeri Sembilan FC musim lalu.
Kelebihannya dari segi fizikal menyaksikannya sukar dibendung pertahanan tempatan dengan pemain berkenaan berjaya mencatatkan 11 gol dalam 13 penampilan liga.
Bagaimanapun, kegagalan skuad Jang untuk menawarkan kontrak baharu menyaksikannya meninggalkan pasukan Liga Super itu meskipun membantu mereka ke kedudukan keempat Liga Super.
Jadi, untuk menyambung kariernya, Gustavo bertindak menyertai kelab Liga 1 Indonesia, Arema FC pada jendela perpindahan mereka sebelum ini.
Gustavo kini beraksi bersama Persija Jakarta selepas meninggalkan Arema FC. — Agensi
Langkah tersebut jelas membuahkan hasil buat penyerang berusia 27 tahun berkenaan apabila dia kini merupakan antara penjaring terbanyak liga dengan 14 gol daripada 16 penampilan.
Namun, sumbangannya itu masih belum cukup untuk membantu mereka berada di kedudukan lebih baik sehingga menyaksikannya sekali lagi mencari angin baharu dengan menyertai Persija Jakarta baru-baru ini.
Sekiranya KDA FC mampu mengambil kesempatan daripada kesamaran Gustavo dalam mengenal pasti masa depannya, terdapat kemungkinan dia boleh menjadi pengganti terbaik kepada Ifedayo.
Permintaan gajinya boleh dianggap sebagai satu cabaran buat skuad Sang Kenari untuk mendapatkan khidmatnya dengan usia serta kebolehannya akan merumitkan keadaan.
2. Ronald Ngah Wanja
Musim lalu, KDA FC memberi kepercayaan kepada pemain kelahiran Cameroon, Ronald Ngah Wanja untuk mengemudi barisan serangan mereka.
Keputusan tersebut boleh dianggap sebagai satu langkah tepat memandangkan pemain tinggi lampai itu mudah menggegarkan gawang lawan setiap kali diturunkan.
Berdasarkan statistik, Ronald Ngah atau juga lebih dikenali sebagai 'Pak Ngah' merekodkan 13 jaringan dan dua bantuan gol dalam 21 penampilan Liga Super.
Prestasi memberangsangkan turut dipamerkan di peringkat lebih tinggi apabila pemain berusia 32 tahun itu merekodkan dua gol dan tiga bantuan jaringan dalam saingan Piala AFC.
Pak Ngah pernah mengemudi jentera serangan skuad Sang Kenari selama semusim. — Facebook/KDA FC
Namun, keputusan KDA FC untuk menamatkan kontraknya dilihat berpunca daripada desakan beberapa penyokong yang kurang yakin dengan kebolehan pemain berkenaan.
Tetapi, sekiranya mereka membandingkan Ifedayo dengan Pak Ngah, ramai lebih menyokong supaya bekas penyerang import Cameroon tersebut mengemudi barisan serangan mereka.
Ketika ini, pemain terbabit difahamkan sedang beraksi dalam liga kedua Arab Saudi dengan Hajer Club selepas pernah mencuba nasib di Qatar bersama Al Khor SC.
Meskipun terdapat kemungkinan nipis untuk menyaksikannya pulang pada jendela perpindahan akan datang, Pak Ngah boleh dianggap sebagai calon terbaik sekiranya Ifedayo tidak menyambung kontrak.
3. Hamilton
Berdasarkan rekod lampau, KDA FC merupakan antara kelab Liga Super yang cenderung mendapatkan penyerang import dengan pengalaman dalam liga-liga sekitar Asia Tenggara.
Jadi, terdapat kemungkinan mereka akan mengambil pendekatan demikian untuk mencari pengganti Ifedayo pada jendela perpindahan akan datang.
Antara calon terbaik yang kini beraksi di liga berdekatan ialah penyerang kelab Thailand, Port FC iaitu Hamilton yang berasal dari Brazil.
Meskipun sudah berusia 32 tahun, pemain berkenaan tidak berdepan sebarang cabaran untuk mencetak gol dengan dia kini sudah menjaringkan lapan gol daripada 10 penampilan Liga Thailand.
Hamilton memiliki pengalaman bertahun-tahun di Liga Thailand. — Agensi
Ia bukanlah sesuatu yang baharu buat Hamilton apabila dia sering muncul sebagai antara penjaring terbanyak dalam beberapa kelab disertainya.
Sekiranya KDA FC bertindak segera dengan mendapatkan khidmatnya, terdapat kemungkinan isu penyerang mereka akan menemui jalan penyelesaian musim depan.
Meskipun beberapa pihak pastinya khuatir akan kebolehannya untuk menyesuaikan diri, sebilangan pemain dilihat tidak mengalami sebarang masalah untuk berbuat demikian.
Persoalannya, mampukah skuad Sang Kenari membuat tawaran lumayan sehingga mampu mencuri perhatian Hamilton untuk menyertai mereka pada musim akan datang. — Majoriti
ollow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram