PENYERANG berbisa Sabah FC, Ramon Machado yang dibawa masuk jendela perpindahan kedua pada Jun terus menunjukkan nilainya.
Pemain berusia 32 tahun itu menunjukkan persembahan memukau ketika berdepan Terengganu FC dengan menjaringkan gol pada minit keenam sekali gus membantu Sang Badak meraih kemenangan 4-0 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, Terengganu pada Jumaat.
Penyerang kelahiran Brazil itu menyudahkan hantaran silang bek kanan, Rizal Ghazali dengan sepakan gunting cantik di dalam kotak penalti pada minit keenam untuk memulakan pasukannya dengan cemerlang.
Ramon sudah mencetak lapan gol dalam saingan Liga Super 2023. — Facebook/Sabahfc
Machado yang menyertai Sabah dari kelab Azerbaijan Gabala pada Jun berasa gembira kerana dapat menterjemahkan kualitinya di atas padang.
“Perlawanan hebat dari seluruh skuad. Setiap gol yang dijaringkan adalah hasil kerja berpasukan,” katanya.
Dalam semua pertandingan musim ini, Machado telah menjaringkan 12 gol dalam 17 perlawanan.
Dalam saingan Liga Super sahaja, dia telah menjaringkan lapan gol untuk menjadi penyerang terbaik kelab itu setakat musim ini.
Gol lain ketika menentang Terengganu dijaringkan oleh pemain sayap Indonesia, Saddil Ramdani pada minit ke-28 dan pemain tengah Sepanyol, Miguel Cifuentes pada minit ke-39.
Kemenangan itu menyaksikan Sabah merapatkan jurang dengan Kedah Darul Aman (KDA FC) di tangga ketiga dengan hanya perbezaan dua mata. Pasukan yang berpangkalan di Borneo itu kini mengumpul 48 mata daripada 24 perlawanan.
Tambahnya lagi, mereka perlu menewaskan Perak FC pada 3 Disember di tempat lawan dan KDA FC pada 17 Disember di tempat sendiri untuk menduduki tempat ketiga dalam liga.
“Bukan itu sahaja, kami juga mempunyai Piala AFC, di mana kita akan menentang Hougang United pada 30 November di Singapura. Kami akan ke peringkat seterusnya jika menewaskan mereka," ujarnya. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram