Saingan hanya Kedah-Selangor, aksi tempat sendiri cukup penting — Nafuzi Zain


  • Podium
  • Isnin, 27 Nov 2023

Nafuzi pasti berharap agar anak-anak buahnya mampu menggunakan kelebihan beraksi di tempat sendiri ketika berdepan Selangor FC pada Sabtu. — Facebook/KDA FC

KEDAH Darul Aman (KDA) FC berpeluang beraksi di pentas Asia musim depan selepas mengutip tiga mata dengan mengalahkan Kelantan FC 6-1 pada saingan Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV, Kelantan pada Ahad.

Ketua jurulatih skuad Sang Kenari, Nafuzi Zain berkata, kemenangan itu penting kepada pasukannya bagi merapatkan jarak kutipan mata dengan Selangor FC yang berada di kedudukan kedua Liga Super.

"Sekarang ini kita hanya mempunyai perbezaan dua mata dengan Selangor dan mempunyai dua lagi baki perlawanan saingan liga.

"Tumpuan pada masa ini ialah merebut slot tempat kedua untuk Piala AFC musim depan, apabila satu slot lagi sah milik Johor Darul Takzim (JDT), jadi persaingan ketika ini hanya Kedah dan Selangor,” katanya selepas perlawanan.

Kedudukan semasa Liga Super menyaksikan JDT berada di kedudukan pertama dengan 70 mata, Selangor di kedudukan kedua (55 mata) dan Kedah tempat ketiga (53 mata).

404606318_384562313924952_7640906106184096387_n

Skuad Sang Kenari kini berada di tangga ketiga Liga Super dengan dua aksi berbaki. — Facebook/KDA FC

Tambah Nafuzi lagi, pasukannya perlu konsisten dengan memperolehi kemenangan dalam kedua-dua perlawanan terakhir selepas ini.

"Selepas ini kita akan bertemu dengan Selangor di tempat sendiri dan ia menjadi kelebihan kepada kita, jadi perlawanan ini amat penting,” katanya.

Sementara itu, ketua jurulatih Kelantan FC, Alfredo Vera berkata, pemain muda skuad The Red Warriors (TRW) perlu diberi lebih masa bagi membolehkan mereka berpengalaman dalam beraksi pada saingan liga yang tinggi.

"Kita harus positif kerana pemain bermati-matian di atas padang sehingga minit terakhir walaupun berdepan dengan pasukan lebih kuat, setidak-tidaknya pemain mendapat pengalaman untuk ke hadapan.

"Saya sering beritahu pemain, kesempatan yang mereka dapat bermain perlu digunakan sebaik mungkin, kerana banyak pasukan dalam Liga Malaysia yang menonton prestasi,” katanya.

Dia berkata, pemain muda Kelantan FC mempunyai pontesi untuk dikembangkan sekiranya diberi peluang bermain dengan pasukan yang lengkap, sama ada pemain import atau pemain tempatan berpengalaman. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram