KEDAH Darul Aman (KDA) FC menepati ramalan apabila berjaya menang besar terhadap Kelantan FC dalam aksi Liga Super yang diadakan di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu.
Sang Kenari berjaya menepati ramalan apabila tiada masalah untuk mengalahkan The Red Warriors bagi memastikan jurang dua mata antara mereka dan Selangor FC tidak berubah.
Perlawanan yang dilangsungkan dalam permukaan padang yang benar-benar terkesan akibat hujan lebat berjaya memberikan kemenangan 6-1 buat KDA.
Bintang tumpuan perlawanan adalah penyerang import Sang Kenari iaitu Ifedayo Olusegun. Pemain tersebut mencuri tumpuan apabila berjaya menjaringkan empat gol dalam perlawanan ini.
Dua jaringan pertama Ifedayo adalah menerusi sepakan penalti sambil pemain tersebut melengkapkan hatrik dan gol keempatnya pada separuh masa kedua.
Namun begitu, walaupun berhasil mencipta jumlah jaringan yang besar tetapi pemain tersebut masih lagi tidak disenangi oleh penyokong-penyokong KDA.
Hal ini kerana, Ifedayo terlalu banyak melepaskan peluang untuk menjaringkan gol. Pada hemat mereka, jika penyerang Bahrain itu lebih tajam di depan gol, sudah pasti jumlah jaringan lebih besar terhasil.
"Ifedayo tu, masa ni la nak jaringkan 10 gol kalau nak (menang) kasut emas. Peluang saja-saja terlepas," kata penyokong bernama Ayen.
"Serabut tengok Ifedayo cipta peluang dekat dia seorang saja," komen Akmal Solihin.
"Ifedayo peluang berlambak. (Tapi) tauk parit," kritik Man Syafiq.
Ada yang mahukan Ifedayo untuk segera disingkirkan daripada skuad Sang Kenari dengan pengurusan perlu mencari penyerang lebih prolifik berbanding pemain tersebut.
"Ifedayo tak payah turunkanlah. Tahun ini tahun terakhir (dia), tahun depan cari penyerang lain. Teruk sangat kawalan bola, peluang (banyak) dilepaskan," ujar Taqim Al Mustaqim.
"Lelonglah Ifedayo itu," cadang Rosli Saad.
"Simpang buat apa lagi Ifedayo tu? Buat penat kawan-kawan saja hantar bola dekat dia," komen Zasha.
Selain Ifedayo yang menjaringkan empat gol, Amirul Afiq dan Ariff Farhan turut menghasilkan jaringan buat Sang Kenari.
Kelantan turut memperoleh jaringan menerusi Haziman Che Ngah namun ia tidak lebih daripada sekadar sagu hati buat The Red Warriors. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram