Sang Penyu 'tempang' tanpa 3 defender utama di bumi Australia


  • Podium
  • Isnin, 27 Nov 2023

Skuad Sang Penyu sedang sibuk melakukan persiapan akhir sebelum aksi berdepan Central Coast Mariners pada Rabu ini. — Facebook/Terengganu FC

TERENGGANU FC sah tidak akan menurunkan tiga tonggak pertahanan utamanya pada perlawanan menentang pasukan Australia, Central Coast Mariners FC bagi saingan Piala AFC Rabu ini.

Tiga pemain tersebut ialah Azam Azmi Murad, Alif Zakaria dan tonggak pertahanan tengah Shahrul Nizam Ros Hasni yang dibelenggu masalah kecederaan.

Ketua jurulatih skuad Sang Penyu, Tomislav Steinbruckner berkata, persiapan pasukan agak terjejas dan sedikit tempang dengan ketiadaan tiga tonggak berkenaan.

Justeru, dia akan melakukan rombakan di barisan kesebelasan utama bagi memastikan kelab Pantai Timur itu berupaya mengutip tiga mata, sekali gus tampil ke kedudukan teratas Kumpulan G.

"Azam Azmi tidak akan bersama... Alif Zakaria tidak akan bersama... Shahrul Nizam juga tidak akan bersama. Hanya bek tengah, Safwan Mazlan akan mengikut kami pada Ahad.

2388283

Ketiadaan Azam Azmi pastinya akan cukup dirasai skuad Sang Penyu. Facebook/Terengganu FC

"Tetapi dia juga dalam keadaan cedera. Kami ada dua sesi latihan di sana (Australia). Jadi, sebelum perlawanan saya perlu buat keputusan sama ada dia boleh bermain atau tidak,” katanya ketika ditemui sebelum berlepas ke Australia pada Ahad.

Steinbruckner berkata, walaupun tanpa skuad utama itu, jurulatih kelahiran Croatia itu yakin anak-anak buahnya akan memberi persembahan terbaik untuk membolehkan skuad Sang Penyu mara ke peringkat seterusnya.

Terengganu FC dijadualkan menentang Central Coast Mariners FC Rabu ini di Industree Group Stadium, Gosford, Australia.

Pada perlawanan pertama di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Terengganu pada 20 September lepas, skuad Sang Penyu berjaya menewaskan skuad bimbingan Abbas Saad itu dengan keputusan 1-0.

Kedudukan terkini Kumpulan G Piala AFC menyaksikan Central Coast Mariners FC menduduki tangga teratas dengan sembilan mata, diikuti Terengganu FC (lapan mata), Bali United FC (empat mata) dan terakhir, Stallion Laguna FC (satu mata). — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram