Derita dan tersungkur antara 3 kisah kebangkitan trio bintang Harimau Malaya


  • Podium
  • Ahad, 26 Nov 2023

Pasukan negara dibarisi pemain yang cukup bersemangat untuk mencurahkan bakti buat Harimau Malaya. — Facebook/FAM

SATU lagi keputusan positif dicatatkan skuad Harimau Malaya dalam aksi Kumpulan D Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 ketika berdepan Chinese Taipei pada Selasa lepas.

Jaringan tunggal daripada penyerang simpanan, Darren Lok menyaksikan pasukan negara meraih kemenangan kedua daripada dua perlawanan pertama.

Meskipun beberapa percubaan dibuat, kegagalan untuk menyempurnakan peluang terhidang menyebabkan mereka hanya perlu berpuas hati dengan keputusan 1-0.

Kemenangan berkenaan sekali gus menyaksikan pasukan negara kini berada di kedudukan teratas selepas Oman tumpas kepada Kyrgyzstan.

404576104_1047441509662418_2759797282511144300_n

Dua kemenangan berturut-turut meletakkan Harimau Malaya di tangga teratas kumpulan. Facebook/FAM

Pujian melambung pastinya diberikan terhadap pemain Harimau Malaya yang mempamerkan semangat cukup tinggi dalam kedua-dua perlawanan itu.

Bagaimanapun, ia bukanlah sesuatu yang baharu memandangkan kesungguhan masing-masing kerap ditonjolkan setiap kali perlawanan diadakan.

Malah, sebilangan daripada mereka juga mempunyai kisah tersendiri apabila berjaya bangkit untuk kembali mencurah bakti demi negara.

Selain terpaksa akur dengan ketidaktentuan dalam karier, ada juga yang berdepan cabaran sehingga menyebabkan tempoh permainan masing-masing semakin singkat.

Berdasarkan pemerhatian Majoriti, terdapat tiga bintang dalam skuad Harimau Malaya hari ini yang berjaya bangkit selepas pernah tersungkur satu ketika dahulu.

1. Syihan Hazmi

Peranan penjaga gol nombor satu Harimau Malaya ketika ini dipikul Syihan Hazmi yang beraksi cukup cemerlang dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Selain bijak menepis segala percubaan pihak lawan, pemain berusia 27 tahun tersebut juga mempunyai kebolehan untuk berkomunikasi dengan baik bersama rakan sepasukan.

Bagaimanapun, reputasinya sebelum ini pernah berdepan cabaran selepas dia gagal melepasi ujian doping kira-kira lima tahun lalu.

spo-o-syiihan_HMfield_image_socialmedia.var_1679312813-1170x614

Syihan kini merupakan penjaga gol utama negara dan buat JDT. Facebook/FAM

Perkara itu sekali gus menyaksikan Syihan diberikan penggantungan secara langsung selama 20 bulan yang menghalang anak jati Kelantan tersebut daripada beraksi secara profesional.

Nasib malang turut menimpa pemain berketinggian 1.85 meter terbabit apabila kontraknya bersama Negeri Sembilan FA ketika itu dibatalkan serta-merta.

Tetapi, ujian tersebut tidak menghentikan semangat Syihan untuk kembali bangkit setelah dia menggunakan tempoh berkenaan untuk menambah baik kebolehannya.

Ketabahannya untuk menghadapi cabaran turut menyaksikan penjaga gol tersebut kembali dijulang di peringkat kelab bersama Johor Darul Takzim (JDT) mahupun bersama Harimau Malaya.

2. Darren Lok

Nama Darren Lok ketika ini kembali disebut-sebut dalam kalangan peminat bola sepak tanah air, lebih-lebih lagi selepas dia menjaringkan gol penting ketika berdepan Chinese Taipei.

Malah, kehadirannya juga dianggap sebagai pelengkap buat skuad kendalian Kim Pan-gon memandangkan dia merupakan satu-satunya penyerang terbaik negara ketika ini.

Prestasinya itu turut dipamerkan buat Sabah FC yang kini sedang bersaing dalam Piala AFC dengan Darren adalah salah seorang penjaring terbanyak dengan lima gol.

Bagaimanapun, pemain berdarah kacukan England-Malaysia itu pernah berdepan cabaran sehingga menyebabkan namanya dilupakan orang ramai.

FB_IMG_1606756715897

Darren Lok kurang diberikan peluang sepanjang semusim bersama skuad Sang Penyu. Facebook/Terengganu FC

Selepas bertahun-tahun beraksi bersama JDT II, Darren Lok memilih untuk menyertai Terengganu FC pada 2020 dengan harapan ia akan menambah baik reputasinya.

Namun, langkah itu boleh dikatakan tidak membuahkan hasil setelah dia terlibat dengan beberapa siri kecederaan sehingga menyekat jumlah penampilannya.

Darren Lok kemudiannya bertindak meninggalkan skuad Sang Penyu untuk menyertai Petaling Jaya (PJ) City FC pada musim berikutnya meskipun keputusan berkenaan menimbulkan tanda tanya.

Pembubaran skuad The Phoenix pada hujung tahun lalu sekali gus menyaksikan penyerang berusia 32 tahun tersebut menyertai Sabah FC dengan kariernya kini boleh dianggap kembali ke landasan.

3. Brendan Gan

Salah satu kisah kebangkitan yang pastinya sukar dilupakan adalah mengenai pemain tengah negara, Brendan Gan yang pernah ditimpa pelbagai musibah.

Ketika beraksi bersama Kelantan FA pada 2015, pemain yang kini berusia 35 tahun itu mengalami kecederaan anterior cruciate ligament (ACL) sehingga menyebabkannya tersisih untuk semusim.

Namun, Brendan tidak berputus asa apabila terus memberikan usaha terbaik untuk kembali berada di tahap kecergasan terbaik sehingga membolehkannya dilamar Perak FC pada 2018.

Sepanjang kira-kira dua musim bersama skuad The Bos Gaurus (TBG), pemain tengah itu menampilkan aksi terbaik dalam membantu pasukan itu menjulang Piala Malaysia.

Malaysia's midfielder Brendan Gan celebrates after scoring against Thailand during the 2022 World Cup-2023 Asian Cup Group G qualifying match at the National Stadium in Bukit Jalil, November 14, 2019. GLENN GUAN/The Star

Brendan Gan bangkit untuk menjadi salah seorang pemain tengah terbaik negara.

Bakatnya yang kian lama terpendam akhirnya disedari apabila namanya tersenarai dalam skuad kebangsaan, sekali gus menyaksikannya dianggap sebagai salah seorang pemain tengah terbaik negara.

Namun, musibah yang menimpanya tidak terhenti di situ selepas Brendan Gan disahkan menghidapi kanser testis pada 2021 yang boleh mengancam nyawanya.

Masalah kesihatan tersebut bagaimanapun gagal menghalang kebangkitan menakjubkan buat pemain berdarah kacukan Australia terbabit dengan dia masih aktif sehingga hari ini.

Walaupun persembahannya bersama Selangor FC dan Harimau Malaya dipertikaikan beberapa musim kebelakangan ini, pengalaman lalu menjadi saksi bahawa Brendan akan bangkit dan menepisnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram