Pilih 'simpan kuku' berdepan Sabah mungkin punca Sang Penyu lemas di Gong Badak


  • Podium
  • Jumaat, 24 Nov 2023

Skuad Sang Penyu mengalami kekalahan yang mengekalkan mereka di tangga keenam Liga Super dengan hanya dua perlawanan berbaki.

TERENGGANU FC terpaksa akur dengan kekalahan mengecewakan 0-4 di Stadium Mizan Zainal Abidin, Terengganu kepada Sabah FC pada Jumaat yang merupakan keputusan tercorot mereka musim ini.

Skuad Sang Badak memulakan perlawanan dengan cukup baik apabila penyerang import Brazil, Ramon Machado meletakkan mereka di depan menerusi satu gol cantik.

Kedudukan mereka kian selesa pada babak pertama apabila Saddil Ramdani dan Miguel Cifuentes berjaya menempa nama dalam senarai penjaring buat pasukan pelawat.

Derita skuad Sang Penyu berterusan pada separuh masa kedua selepas pemain gantian, Jafri Firdaus Chew menampan masuk umpanan Machado pada minit ke-48.

Skor kekal sehingga wisel penamat yang menyaksikan kedudukan Sabah FC di tangga keempat Liga Super semakin kukuh dengan hanya dua mata membezakan mereka daripada pasukan di tangga ketiga, Kedah Darul Aman FC yang mengutip 50 mata.

KUALA NERUS, 24 Nov -- Pemain Terengganu FC, Adisak Kraisorn (tengah) melakukan percubaan sambil diasak penjaga gol Sabah FC, Khairul Fahmi Che Mat (kanan) pada perlawanan Liga Super Malaysia 2023 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, malam ini.Keputusan semasa, Sabah 3-0 Terengganu FC.--fotoBERNAMA (2023) HAK CIPTA TERPELIHARA

Adisak (putih) yang diletakkan untuk menggantikan Ivan Mamut tidak memberi impak diharapkan.

Bagi Terengganu FC pula, kekalahan itu meletakkan mereka terus kekal di kedudukan keenam dengan hanya dua perlawanan berbaki sebelum tirai musim dilabuhkan.

Kekalahan tersebut boleh dikatakan berpunca daripada keputusan ketua jurulatih, Tomislav Steinbruckner yang memilih untuk merehatkan beberapa tonggak pasukan.

Bek tengah berpengaruh, Shahrul Nizam Ros Hasni serta penjaring terbanyak pasukan, Ivan Mamut merupakan antara yang tidak diletakkan dalam kesebelasan utama meskipun penyerang Croatia itu dimasukkan pada babak kedua.

Selain itu, kecederaan dialami dua bek sayap mereka, Azam Azmi Murad serta Alif Zakaria menyaksikan struktur pertahanan semakin lemah untuk menyekat serangan bertali-arus daripada Sabah FC.

Pendekatan itu dibuat pastinya melihat kepada jadual padat buat kelab Pantai Timur berkenaan yang bakal berdepan Central Coast Mariners dalam peringkat kumpulan Piala AFC pada Rabu ini.

Selain itu, mereka juga pastinya sedang sibuk melakukan persiapan sebelum aksi final Piala Malaysia menentang Johor Darul Takzim (JDT) yang dijadualkan berlangsung pada 8 Disember ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram