JOHOR Darul Takzim (JDT) kini berada dalam landasan tepat untuk membolot kesemua empat piala yang dipertandingkan di peringkat domestik.
Mereka yang membuka tirai musim dengan kemenangan ke atas Terengganu FC menyaksikan mereka menjulang trofi Piala Sumbangsih buat kali keenam berturut-turut.
Pencapaian tersebut diikuti dengan kejayaan untuk memenangi Piala FA pada Julai lalu selepas skuad Harimau Selatan menundukkan Kuala Lumpur (KL) City FC di pentas akhir.
Nama mereka sekali lagi dijulang peminat bola sepak tanah air apabila pada September lalu, JDT dinobatkan juara Liga Super buat kali ke-10 berturut-turut berdasarkan kutipan mata.
Jadi, untuk melengkapkan kolekasi mereka musim ini, skuad kendalian Esteban Solari hanya perlu berdepan Terengganu FC dalam pentas akhir Piala Malaysia yang dijadualkan berlangsung 8 Disember ini.
JDT pasti berharap untuk mengulangi pencapaian bersejarah tersebut musim ini.
Mereka pastinya bersemangat untuk mencatatkan pencapaian bersejarah terbabit buat kali kedua berturut-turut selepas turut meraihnya tepat pada 26 November tahun lalu.
Selepas meraih tiga trofi, JDT perlu berdepan saingan daripada Selangor FC dalam final Piala Malaysia dengan pasukan Lembah Klang itu berada dalam prestasi terbaik di bawah kendalian Tan Cheng Hoe.
Bagaimanapun, cabaran tersebut mudah diatasi pasukan Selatan tanah air berkenaan yang mencatatkan kemenangan 2-1 dalam aksi diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil, KL.
Kemenangan tersebut menyaksikan skuad Harimau Selatan muncul sebagai pasukan Liga Super pertama menjulang kesemua empat trofi semusim, atau juga dikenali sebagai 'quadruple'.
Pengendali mereka ketika itu, Hector Bidoglio bagaimanapun enggan mengambil kredit ke atas kejayaan bergaya itu apabila dia sempat memberikan ucapan terima kasih kepada kesemua pihak.
Bidoglio (dua dari kanan) enggan mengambil kredit penuh ke atas kejayaan bersejarah JDT. — Facebook/JOHOR Southern Tigers
Selain memberi penghargaan terhadap barisan kejurulatihan yang setia bersamanya, Bidoglio turut menegaskan pencapaian berkenaan sukar dicapai tanpa kehadiran pemilik kelab, Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Idris.
Tidak cukup dengan itu, jurulatih kelahiran Argentina tersebut turut memberikan kredit buat anak-anak buahnya yang tidak pernah mengenali erti putus asa sepanjang musim.
Kini, tugasan untuk mengulangi sejarah itu terletak di bahu Esteban Solari yang sememangnya cukup disegani dalam arena bola sepak tanah air.
Di samping sudah membantu JDT menjulang tiga kejuaraan, mereka turut melakukannya dengan amat bergaya apabila skuad Harimau Selatan tampak sukar untuk ditundukkan.
Oleh itu, untuk melihat sekiranya mereka mampu mengulanginya, pertualangan dengan skuad Sang Penyu pada 8 Disember di Stadium Nasional Bukit Jalil akan menjadi penentu terhebat buat mereka. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram