Status 2 tonggak masih kabur, Kim Swee ada 'back up' hadap Sang Penyu


  • Podium
  • Jumaat, 24 Nov 2023

Sebahagian sesi latihan barisan pemain Sang Badak menjelang perlawanan Liga Super berdepan Sang Penyu. — Facebook/Sabahfc

MENJELANG pertemuan antara Sabah FC dan Terengganu FC (TFC) dalam saingan Liga Super 2023, Sang Badak pastinya berhasrat besar mahu mencuri tiga mata penting dalam aksi yang berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, Terengganu pada Jumaat.

Namun, status kecergasan pemain pertahanan, Dominic Tan dan tonggak tengah, Stuart Wilkin yang masih dalam pemantauan pengendali Sabah FC itu belum diketahui.

Ketua Jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee mengesahkan status kedua-dua pemain kebangsaan tersebut belum diketahui sama ada akan diturunkan atau sebaliknya menjelang aksi tersebut.

"Para pemain kebangsaan yang bersama pasukan Sabah FC, saya harus melihat kepada segi kecergasan termasuk kecederaan yang menimpa Dominic Tan dan Stuart Wilkin.

"Kita masih mempunyai masa bagi memastikan sama ada mereka dapat diturunkan atau tidak," katanya.

WhatsApp Image 2023-11-24 at 08.25.00

Dua pemain kebangsaan, Daniel Ting (kiri) dan Darren Lok dijangka bakal diturunkan dalam aksi berdepan Terengganu FC. — Facebook/Sabahfc

Meskipun berkemungkinan kehilangan khidmat kedua-dua tonggak Sabah itu, Sang Badak bagaimanapun masih mempunyai peluang untuk meraih kemenangan kerana tiga lagi pemain yang bertugas bersama skuad kebangsaan berada dalam keadaan yang baik.

"Selain daripada kedua-dua mereka, Darren Lok, Daniel Ting dan Saddil Ramdani berada dalam keadaan cukup baik," kongsinya.

Tambahnya lagi, pasukan yang berpangkalan di Borneo itu masih berpeluang untuk merebut tiga terbaik dalam carta Liga Super.

Kim Swee turut tidak menafikan sebarang perubahan kedudukan bakal berlaku namun perlu fokus dalam tiga baki perlawanan tersebut agar tiada keciciran mata.

"Perlawanan yang amat penting di mana kita menuju ke penghujung musim yang mana hanya tiga perlawanan saja tinggal.

"Saya percaya kita mampu mendapatkan tempat yang lebih baik kalau kita dapat keputusan yang positif.

"Namun, kita tidak harus kehilangan mata di mana saya percaya Terengganu mempunyai satu pasukan yang cukup konsisten," jelasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram