Mahu bantu Sabah FC capai sasaran, Jafri Chew yakin Sang Badak benam Sang Penyu


  • Podium
  • Jumaat, 24 Nov 2023

Khidmat pemain sayap, Saddil Ramdani (kiri) ditagih dalam misi mencuri tiga mata penting berdepan Terengganu FC.  — Facebook/Sabahfc

SEJAK membuat keputusan untuk meninggalkan tanah kelahirannya, Pulau Pinang pada penghujung musim lalu, Jafri Firdaus Chew akhirnya mendapat sinar baharu dalam kariernya apabila namanya kian disebut-sebut penyokong Sabah FC.

Selepas dua musim menabur bakti bersama Penang FC, Jafri Chew akhirnya keluar dari zon selesa dengan merantau ke negeri Sabah bagi menyertai skuad The Rhinos dan bersatu semula bersama mentornya, Datuk Ong Kim Swee yang sebelum ini melatihnya ketika mewakili skuad muda Malaysia.

Bagi pemain berusia 26 tahun itu, 2023 merupakan musim untuk membina keyakinannya.

Bekas pemain Harimau Muda itu mengakui tidak terlalu berpuas hati dengan prestasinya tahun ini kerana hanya memulakan enam perlawanan Liga Super 2023 daripada 14 perlawanan dan hanya menjaringkan dua gol.

Berbeza cerita dalam saingan Piala AFC, bekas pemain Kedah itu bermain empat perlawanan dan hanya mencetak satu gol.

Secara keseluruhannya, Jafri sudah bermain 24 perlawanan untuk pasukan Sabah FC dalam semua pertandingan.

WhatsApp Image 2023-11-24 at 11.30.53

Jafri Chew (tengah) antara pemain yang membantu Sabah FC mencetak satu jaringan menewaskan Kelantan FC. — Facebook/Sabahfc

Ketika perlawanan Liga Super berdepan Kelantan FC, pemain berusia 26 tahun itu mempamerkan kebolehannya beraksi di pelbagai posisi seperti bek kanan dan penyerang sekali gus menjaringkan gol ketika menewaskan The Red Warriors (TRW) dengan keputusan 7-0 di Stadium UiTM Shah Alam, Selangor.

Dalam pada itu, Jafri berharap dapat mempamerkan satu lagi prestasi terbaik ketika menentang Terengganu FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak pada Jumaat.

“Ia satu cabaran, itu sudah pasti. Sama seperti kita, Terengganu juga beraksi dalam Piala AFC dan kita boleh lihat mereka antara pasukan paling konsisten sejak pertengahan tahun ini.

“Keputusan menentang Kelantan adalah positif kerana kami mahu mengharungi perlawanan Terengganu dengan penuh keyakinan. Kami menyasarkan untuk menduduki tempat ketiga dalam liga, jadi setiap perlawanan akan menjadi penting.

“Bagi prestasi saya, saya rasa saya boleh melakukan lebih baik tetapi ini adalah tahun untuk saya mendapat keyakinan dan ia akan kembali. Saya mahu membantu Sabah menamatkan musim dengan baik dan meneruskan prestasi baik mereka dalam Piala AFC," katanya.

Sabah kini berada di tangga keempat Liga Super dengan meraih 45 mata daripada 23 perlawanan.

Selepas perlawanan menentang Terengganu, Sang Badak akan menentang Hougang United dalam perlawanan kelima Kumpulan H Piala AFC 2023 di Stadium Jalan Besar, Singapura pada 30 November. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram