MUSIM Liga Super untuk tahun 2023 semakin menemui titik penamat, jadi tidak hairanlah jika ada aktiviti untuk mendapatkan pemain baharu bagi persediaan sesebuah pasukan.
Dengan kemasukan pemain-pemain baharu dalam pasukan, tentunya dilihat akan membantu di bahagian serangan mahupun pertahanan.
Dalam pada itu, nama pemain sayap kanan pasukan Ceara SC, Erick de Arruda mulai mencuri tumpuan penyokong tanah air.
Melihat kepada prestasi semasa pemain kelahiran Brazil itu, Erick sudah menjaringkan 17 gol dan 11 assists selepas 48 penampilan bersama Ceara SC.
Untuk rekod, Ceara SC juga pernah merekrut peledak Harimau Selatan, Bergson da Silva pada pertengahan musim 2019 sebelum dia berhijrah ke Fortaleza (2020) dan JDT (2021).
Pemain sayap kanan berkualiti, Erick de Arruda. — Instagram/erick
Dengan prestasi yang memberangsangkan itu, Majoriti menyenaraikan tiga kelab yang wajar menyambar pemain muda tersebut supaya dia boleh digandingkan dengan pemain sayap kiri pasukan masing-masing.
Selangor FC
Kehadiran Erick ke Selangor pastinya dilihat sebagai tonik baharu untuk kelab Gergasi Merah, terutamanya dengan prestasi lebih baik selepas menduduki tangga kedua carta Liga Super, di belakang JDT.
Sekiranya Erick berjaya dibawa masuk ke kelab Gergasi Merah, tentunya gandingan bersama pemain sayap kiri lincah, Faisal Halim adalah paling sesuai.
Pastinya gandingan duo tersebut dilihat akan lebih mempertajamkan bahagian serangan skuad Merah Kuning.
Hal ini kerana, Selangor yang masih berpeluang untuk mendapatkan slot ke Piala Asia musim depan dilihat akan memerlukan khidmatnya di bahagian serangan.
Sabah FC
Keupayaan pemain kelahiran Brazil itu untuk menggalas tanggungjawab sebagai pemain sayap kanan sememangnya tidak boleh dinafikan.
Apabila berada prestasi terbaiknya, pengaruh dimiliki pemain berusia 26 tahun itu boleh dirasai di segenap keseluruhan padang sama ada ketika bertahan mahupun ketika melancarkan proses serangan pasukan.
Erick sudah menjaringkan 17 gol dan 11 assists selepas 48 penampilan bersama Ceara SC.
Kehadirannya ke Sabah FC musim depan pastinya akan mewarnai kancah bola sepak tanah air apabila dilihat sesuai digandingkan bersama Saddil Ramdani.
Keserasian yang bakal ditampilkan oleh duo itu seolah-olah memberi amaran kepada pasukan lain agar berjaga-jaga dengan kemaraan gandingan mereka.
Perak FC
Melihat kepada prestasi semasa Perak FC, pastinya kelab tersebut memerlukan pemain sayap kanan yang berkualiti.
Disebabkan kekurangan pemain sayap baik bahagian kanan mahupun kiri, Yusri Che Lah menggunakan khidmat import Korea Selatan, Seo Seon-ung untuk beraksi di posisi berkenaan untuk saingan Liga M musim ini.
Dalam pada itu, Wan Zack Haikal yang beraksi di posisi sayap kiri dilihat sesuai untuk digandingkan dengan Erick.
Memiliki ketinggian 1.73 meter, pastinya bakal menjadi senjata penting buat skuad The Bos Gaurus (TBG) untuk mencipta peluang jaringan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram