Mula 'follow' sesama sendiri, Faisal-Solari bakal ada hubungan lebih akrab


  • Podium
  • Ahad, 26 Nov 2023

Sumbangan Faisal (kanan) membolehkan skuad Gergasi Merah berada di kedudukan kedua Liga Super dengan masih dua aksi berbaki. — Facebook/Selangor FC

TAK senang duduk penyokong Selangor FC apabila pemain sayap lincah, Faisal Halim dikaitkan dengan perpindahan ke pasukan juara bertahan Liga Super, Johor Darul Takzim (JDT) pada musim depan.

Faisal ataupun dikenali sebagai Mickey adalah pemain utama Tan Cheng Hoe sejak dia beraksi bersama Gergasi Merah pada awal musim dan dia antara yang banyak sumbangan di bahagian serangan Selangor FC pada musim ini.

Setakat ini, pemain tersebut sudah mengumpul 11 gol dalam kempen Liga Super dan menjaringkan satu gol dalam saingan Piala FA musim ini.

Desas-desus perpindahan itu dianggap benar selepas pemilik JDT, Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Idris pernah menyebut bahawa mereka akan mendapatkan seorang pemain tempatan untuk menguatkan lagi skuad pada musim akan datang.

Selain petunjuk daripada Tunku Ismail itu, akaun Instagram Faisal dan ketua jurulatih kelab, Estaban Solari yang berada dalam senarai 'following' pemain berusia 25 tahun itu seakan-akan memperkukuhkan khabar angin berkenaan.

WhatsApp Image 2023-11-26 at 17.19.06

Tangkap layar Solari dilihat mengikuti Faisal di laman Instagram.

Bukan hanya Faisal, malah Solari juga mengikuti tonggak sayap itu di platform Instagram dan lebih menarik tonggak kebangsaan itu menjadi satu-satunya pemain dari pasukan Liga Super yang berada dalam senarai yang diikuti pengendali kelahiran Argentina itu.

Walaupun ia sekadar senarai pengikut di Instagram namun perkara yang dianggap kecil itu seakan-akan memberi petunjuk bahawa kedua-duanya bakal mempunyai hubungan antara pemain dan jurulatih pada suatu hari nanti.

Sekiranya ura-ura Harimau Selatan sedang mempersiapkan langkah membawa Faisal ke JDT, pasti sukar untuk Selangor mengadakan perbincangan pelanjutan kontrak bersama pemain kelahiran Pulau Pinang berkenaan.

Sebelum ini, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Selangor FC, Dr Johan Kamal Hamidon menyatakan hasrat mengekalkan Faisal untuk tempoh yang panjang selepas tampil dengan prestasi memberangsangkan sejak menyertai skuad Gergasi Merah itu musim ini.

"Mickey adalah pemain penting untuk Selangor, kami mahu menyimpan pemain yang terbaik, kami gembira dengan Mickey dan beliau juga bersama Selangor.

"Jadi kami harap dapat melanjutkan kontraknya selama yang mungkin,” katanya ketika menjawab khabar angin mengaitkan Faisal dengan Harimau Selatan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram