PENJAGA gol Johor Darul Takzim (JDT), Farizal Marlias telah mengukuhkan cengkamannya sebagai legenda kelab tersebut apabila mencipta rekod peribadi untuk dirinya.
Farizal yang sekian lama menjadi penjaga gol utama Harimau Selatan telah berjaya mencatatkan nirbolos (clean sheet) yang ke-100 dalam kariernya untuk JDT.
Kejayaan itu hadir menerusi persembahan baiknya ketika JDT menewaskan Kuching City FC 2-0 dalam aksi Liga Super yang dilangsungkan dekat Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri.
"Farizal Marlias mengekalkan rekod bersih ke-100 'clean sheets' beliau untuk JDT dalam kemenangan 2-0 JDT ke atas Kuching City dalam Liga Super Malaysia pada 23 November 2023.
"Farizal, yang menjadi kapten JDR pada malam tersebut, menyertai JDT pada 2015 dan telah bermain 221 perlawanan untuk kelab," kata JDT di laman media sosial mereka.
Farizal sudah beraksi untuk JDT selama lapan musim sejak menyertainya dari Selangor FC pada 2015.
Sejak daripada itu, Farizal utuh menjadi penjaga gol utama Harimau Selatan dengan namanya semakin kukuh apabila dipilih sebagai ketua pasukan kelab pada 2020.
Namun sejak kehadiran Syihan Hazmi sebagai penjaga gol dan merampas tempatnya, minit permainan Farizal semakin terhad namun ia tidak menghalangnya daripada terus menyinar buat JDT.
Farizal merupakan antara nadi kejayaan JDT. Dia memainkan peranan penting ketika JDT merangkul gelaran Piala AFC pada 2015.
Malah, dia juga turut menjadi nadi kepada dominasi sedekad JDT dalam saingan Liga Super.
Bersama-sama skuad kebangsaan, Farizal turut mempamerkan persembahan baik dan mewarisi pintu gol negara yang sebelum ini dikuasai oleh Khairul Fahmi Che Mat.
Akan tetapi, dengan minit permainan semakin berkurang, Farizal tidak lagi mendapat kepercayaan Kim Pan-gon yang lebih gemarkan penjaga gol muda seperti Syihan Hazmi (JDT), Sikh Izhan Nazrel (Negeri Sembilan FC) dan Azri Ghani (KL City).
Selain itu, yang terbaharu ialah Suhaimi Husin dari Terengganu FC.
Walaupun begitu, Farizal tetapi dianggap sebagai antara penjaga gol terbaik yang Malaysia ada pada era moden. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram