Tiada isu pilih kasih, biar Persatuan Bola Tampar Penang jelaskan dulu — Exco


  • Podium
  • Sabtu, 25 Nov 2023

Daniel Gooi juga tidak mahu memberi sebarang kenyataan tanpa membuat penilaian lebih mendalam akan isu tersebut.

BARU-BARU ini, tular di media sosial apabila sebuah kelab bola tampar bertapak di Pulau Pinang didakwa menjadi mangsa pilih kasih dalam kalangan pihak tertentu.

Seri Penanti Volleyball Club (SPVC) dalam satu hantaran di Facebook meluahkan rasa kecewa mereka atas sikap sebahagian pihak yang hanya mementingkan kenalan tersendiri.

Luahan tersebut dibuat selepas pasukan bola tampar wanita bawah 16 tahun (B-16) Pulau Pinang dikalahkan Selangor dengan keputusan 4-25 dalam sebuah kejohanan yang diadakan di Sibu, Sarawak.

Keadaan berkenaan didakwa berpunca daripada campur tangan pihak tidak diketahui dalam proses pemilihan pemain sehingga menyebabkan mereka mengalami kekalahan memalukan itu.

Kelakuan sebegitu dikhuatiri hanya akan menyebabkan sukan berkenaan semakin dilupakan sedangkan bola tampar adalah salah satu acara sukan terbaik dalam kalangan belia.

404939074_1665647357515687_1179932536481060113_n

Sekeping foto dikongsikan memaparkan pemain lebih layak tidak diberi peluang untuk aksi di Sibu, Sarawak.

Jadi, dalam usaha menjernihkan semula keadaan, orang ramai mendesak supaya pihak berkuasa mengeluarkan kenyataan terhadap isu tersebut.

Bagaimanapun, bagi Exco Belia, Sukan dan Kesihatan Pulau Pinang, Daniel Gooi Zi Sen, perkara itu tidaklah berlaku seperti mana digembar-gemburkan di media sosial.

"Saya rasa saya perlu dapatkan gambaran lebih cerah. Untuk isu ini sebenarnya tidak kena mengena dengan pilih kasih. Cuma ada pihak yang sensasikan melalui media sosial.

"Adalah lebih baik sekiranya cuba dapatkan Persatuan Bola Tampar Pulau Pinang untuk memberi penjelasan dahulu kerana kita tidak mahu mendengar daripada sebelah pihak sahaja," katanya kepada Majoriti.

Tambahnya, terdapat kemungkinan persatuan itu akan mengeluarkan kenyataan rasmi bagi menjawab hal-hal yang timbul mengenai isu tersebut.

Namun, setakat ini, mereka masih belum memberikan sebarang respons meskipun desakan terus dibuat terhadap perkara yang semakin tular itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram