FAM pilih berpisah dengan K. Rajagobal sedekad lalu sebelum kempen kelayakan Piala Asia


  • Podium
  • Sabtu, 25 Nov 2023

Datuk K. Rajagobal menghadiahkan gelaran Piala AFF 2010 kepada Malaysia. — THE STAR/Glenn Guan

BOLEH untuk kita katakan yang bola sepak Malaysia pada era 2010-an mempunyai pasang surutnya.

Walaupun adalah turun naiknya, tetapi kemuncak bola sepak negara adalah apabila kita berjaya menjuarai Piala AFF buat pertama kali pada 2010.

Kejayaan itu hadir menerusi inspirasi oleh Datuk K. Rajagobal yang berjaya membantu Malaysia bangkit daripada dimalukan oleh Indonesia pada perlawanan pertama peringkat kumpulan kepada juara kejohanan menewaskan pasukan sama.

Namun selepas daripada kejayaan itu, prestasi skuad Harimau Malaya sedikit demi sedikit menurun. Penurunan prestasi ketara apabila Malaysia gagal untuk mempertahan Piala AFF yang dimenangi pada 2010 pada kejohanan sama dua tahun kemudian.

Selepas daripada kempen Piala AFF 2012 yang mengecewakan, tahun 2013 menjadi penamat kepada kisah Rajagobal bersama-sama skuad kebangsaan.

553 (3)

Gelaran tunggal Piala AFF untuk Malaysia hadir pada 2010. — Agensi

Sedekad lalu, pihak Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memilih tidak menyambung kontrak Rajagobal yang berakhir pada 31 Disember 2013.

Keputusan untuk tidak menyambung kontrak Rajagobal itu adalah untuk memberi laluan kepada pengendali baharu untuk mengemudi skuad Harimau Malaya. Namun buat sementara waktu, tugasan tersebut diberikan kepada pengendali skuad bawah 23 tahun (B-23) Malaysia ketika itu iaitu Datuk Ong Kim Swee.

"Rajagobal adalah salah seorang pengendali skuad kebangsaan paling lama berkhidmat dan dia telah bersama-sama kita selama lima tahun. Kami menghargai segala sumbangannya.

"Masih terlalu awal untuk tentukan siapa pengendali baharu. Datuk Ong Kim Swee akan melatih skuad kebangsaan selepas Sukan SEA di Myanmar," kata pengurus Harimau Malaya ketika itu iaitu Datuk Subahan Kamal yang menambah Kim-swee akan ditugaskan untuk mengharungi kelayakan Piala Asia.

Selepas sedekad, legasi yang ditinggalkan oleh Rajagobal masih tersemat dalam sejarah bola sepak negara. Hingga kini, hanya dia yang mampu menghadiahkan gelaran Piala AFF kepada Malaysia.

Harimau Malaya kini dilatih oleh Kim Pan-gon dan sedang terbang tinggi dalam misi untuk layak ke Piala Dunia. Satu lagi legasi cuba dicipta dalam bola sepak negara walaupun berlainan jalan ceritanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram