KEBERGANTUNGAN kelab-kelab Liga Super terhadap pemain naturalisasi semakin hangat beberapa musim kebelakangan ini apabila impak masing-masing membawa perubahan besar.
Kehadiran mereka boleh dianggap sebagai satu 'rahmat' memandangkan kehadiran pemain dalam kategori tersebut tidak akan melanggar kuota import ditetapkan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).
Antara kelab yang meraih faedah daripada sistem naturalisasi ialah Johor Darul Takzim (JDT) yang memiliki jeneral tengah kelahiran Brazil, Endrick dos Santos serta Sri Pahang FC yang kerap mengharapkan kehadiran Sergio Aguero.
Impaknya turut dirasai di peringkat kebangsaan apabila Harimau Malaya kini memberikan pengharapan cukup tinggi buat bintang naturalisasi.
Situasi tersebut sedikit sebanyak menimbulkan pelbagai pertikaian dalam kalangan peminat bola sepak tanah air dengan ada daripada mereka menolak sistem naturalisasi.
Aguero merupakan antara pemain naturalisasi yang kerap diturunkan musim ini. — Facebook/Sri Pahang FC
Turut meluahkan pandangan tersebut ialah pengendali Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee yang baru-baru ini dilantik sebagai Presiden Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia (PJBM).
“Kita ingin melihat jurulatih-jurulatih terutamanya di peringkat akar umbi seperti dikatakan oleh Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Yusof (Mahadi).
“(Ini) kerana jurulatih memainkan peranan penting untuk mencungkil bakat, bukan lagi memikirkan pemain-pemain naturalisasi," katanya seperti dilaporkan MakanBola.
Kim Swee diberikan peranan berkenaan pada Sabtu bagi menggantikan mendiang B Sathianathan yang meninggal dunia secara mengejut pada pertengahan tahun lalu.
Oleh itu, keputusannya untuk menekankan isu berkenaan perlu diberikan pujian dengan situasi tersebut dikhuatiri akan terus menular sekiranya tidak dibendung. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram