Bikin kecoh di MBPJ: Polis tahan 23 lelaki, salah seorang 'wanted' berkaitan kes bunuh


  • Podium
  • Ahad, 26 Nov 2023

Hussein Omar menunjukkan salah seorang suspek pergaduhan ketika perlawanan antara Selangor FC dan Perak FC.

PIHAK berkuasa menahan 23 lelaki disyaki terbabit dalam pergaduhan di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Selayang pada petang Sabtu, sebelum aksi Liga Super antara Selangor FC dan Perak FC.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, kesemua individu berusia 16 hingga 44 tahun itu ditahan selepas sepasukan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya menahan dua bas dipercayai membawa penyokong bola sepak kira-kira 5 petang di kawasan stadium berkenaan.

"Tangkapan dilakukan susulan kejadian lima individu berusia 19 hingga 22 tahun dipukul kira-kira 4.50 petang iaitu sebelum perlawanan bola sepak itu berlangsung.

"Kumpulan individu terbabit juga telah merosakkan empat kenderaan yang diletakkan di kawasan parkir bersebelahan stadium dan seorang mangsa mengalami patah tangan,” katanya ketika dihubungi pada Ahad.

Hussein berkata, siasatan awal mendapati kumpulan individu terbabit dipercayai mempunyai niat untuk membuat kecoh dengan merosakkan harta benda dan mencederakan penyokong pasukan bola sepak secara rambang.

Beliau berkata, empat daripada 23 lelaki itu mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan kes dadah serta jenayah manakala seorang lagi memiliki rekod dikehendaki berkaitan kes bunuh di Kajang selain 12 lelaki positif dadah hasil saringan air kencing dilakukan.

Kesemua individu berkenaan direman hingga Rabu ini untuk siasat lanjut mengikut Seksyen 147 dan 427 Kanun Keseksaan serta Seksyen 15 Akta Dadah Berbahaya 1952.

Pada Sabtu, tular menerusi media sosial video berdurasi 44 saat dan tiga keping gambar memaparkan pergaduhan sekumpulan individu serta kenderaan yang rosak akibat pergaduhan yang berlaku di Stadium MBPJ sebelum perlawanan antara Selangor dan Perak berlangsung. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram