DALAM apa saja perkara, unsur berat sebelah atau pilih kasih amat berbahaya kerana ia boleh merosakkan.
Selalunya, unsur sebegini akan membuatkan satu-satu perkara akan musnah dan kemudiannya terkubur.
Begitu juga dalam sukan, sekiranya terdapat unsur-unsur sebegini, ia akan membunuh peluang untuk maju dan menjemput kejayaan datang.
Itulah dakwaan berhubung isu yang timbul dalam arena bola tampar peringkat akar umbi di Pulau Pinang.
Sebuah akaun di Facebook, Seri Penanti Volleyball Club (SPVC) telah meluahkan rasa kecewa terhadap sikap pilih kasih pihak berkaitan sukan tersebut di Pulau Pinang.
Hal ini berlaku selepas pasukan bola tampar wanita bawah 16 tahun (B-16) negeri itu dikalahkan oleh Selangor dengan keputusan 4-25 dalam sebuah kejohanan yang diadakan di Sibu, Sarawak.
"Kalah tak apa, tapi jangan sampai macam ni. Siapa pemain yang pergi (ke kejohanan)? Siapa jurulatih yang dibawa? Siapakah panel pemilih pemain ke Sarawak? Sekolah mana yang mewakili Pulau Pinang?," soal akaun tersebut.
Akaun tersebut kemudiannya menyeru beberapa orang kuat bola tampar Pulau Pinang untuk tampil menjelaskan situasi yang berlaku.
Hal ini kerana, akaun tersebut mengatakan pemain-pemain dari sekolah yang menjuarai kejohanan bola tampar peringkat Pulau Pinang tidak dipilih mewakili negeri tersebut ke pertandingan kebangsaan.
Seri Penanti merupakan juara bola tampar wanita B-16 peringkat Pulau Pinang. — Facebook/Penang Volleyball Association
Sebaliknya, sekolah pilihan 'tangan ghaib' yang dipilih untuk mewakili negeri Utara itu.
"Di mana orang kuat Penang Volleyball Association (PVA)? Kalau ada orang kuat ini Pulau Pinang tidak perlu pembangunan bola tampar. Juara dan naib juara tidak perlu pergi lawan (di peringkat kebangsaan).
"Yang pernah semuanya sekolah sahabat-sahabat mereka. Senarai nama panel dan jurulatih pun tidak dinyatakan. Panel yang pilih pemain pun tidak ada melatih mana-mana pasukan.
"Pasukan yang menjadi juara berapa ramai dibuang, pasukan naib juara seorang pun tidak dipilih. Yang dibawa itu pasukan ketiga, keempat dan pemain peringkat mana pun tak tahu. Pasukan yang dibawa itu dekat Pulau Pinang nak dapat 10 mata pun susah," jelas SPVC.
SPVC mengatakan dek kerana dendam terhadap mereka, orang kuat bola tampar Pulau Pinang sanggup melakukan sabotaj walaupun kesannya terhadap negeri itu sendiri.
"Bola tampar Pulau Pinang berkubur selamanya dengan situasi ini. Tahniah orang kuat PVA yang dendam (dengan) SPVC sejak dulu lagi. Sampai curi-curi ubah jadual perlawanan untuk layak ke peringkat negeri.
"Pengadil sendiri ubah jadual sebab nak menang. Akhirnya, hasil kena kepada pasukan Penang," luah SPVC penuh kekesalan.
Majoriti cuba menghubungi pihak pengendali akaun tersebut untuk penjelasan lanjut, tetapi belum menerima maklum balas.
Isu tersebut turut mendapat perhatian laman penyokong Penang Brotherhood yang mempersoalkan sama ada wujud tindakan pilih kasih dalam pemilihan wakil negeri ke peringkat kebangsaan.
"Tindakan pilih kasih atau pilih bulu sama sekali tidak boleh diterima dik akal fikiran.
"Bukan hari ini, malah dari tahun lepas kami suarakan terhadap kecenderongan Persatuan Bola Tampar Pulau Pinang yang lebih memilih KRONI daripada BAKAT pemain Bola Tampar di Pulau Pinang. Sungguh menyedihkan," tulis akaun tersebut sambil meminta Exco Sukan negeri itu, Daniel Gooi untuk memberi maklum balas. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram