Jeneral tengah 26 tahun sedia tinggalkan Man United lepas kerap tersisih


  • Podium
  • Sabtu, 25 Nov 2023

Skuad The Red Devils kini memiliki lambakan pemain sehingga menyebabkan sebahagian daripada mereka terus tersisih. — Agensi

KARIER pemain tengah antarabangsa Belanda, Donny van de Beek bersama Manchester United dilihat sudah semakin kelam dengan dia terus sukar mendapatkan minit permainan.

Selepas menyertai skuad The Red Devils dari Ajax pada 2020, pemain berusia 26 tahun berkenaan dikatakan sebagai antara prospek terbaik buat mereka.

Namun, selepas tiga tahun, van de Beek hanya merekodkan enam penampilan dalam kesebelasan utama buat Manchester United dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL).

Meskipun pernah mencuba nasib secara pinjaman di Everton pada pertengahan musim lalu, dia masih gagal untuk mencuri perhatian pengurus pasukan, Erik ten Hag.

Situasi itu diburukkan lagi apabila pemain tengah terbabit mengalami kecederaan lutut yang menyaksikannya lebih kerap disisihkan daripada pasukan.

Jadi, dalam usaha menghidupkan semula kariernya, jeneral tengah berusia 26 tahun berkenaan dilaporkan bersedia membawa diri pada jendela perpindahan akan datang.

WhatsApp Image 2023-11-25 at 19.57.18

Van de Beek mahu mencari kelab baharu selepas khidmatnya seperti tidak diperlukan bersama Manchester United. — Agensi

"Saya mahu bangkit untuk mendapatkan peluang dengan lebih kerap kerana saya lihat pengurus sedang membuat hala tuju baharu ketika ini.

"Kami mempunyai kuantiti pemain yang cukup hebat dan saya pasti lebih ramai yang akan cuba tinggalkan Manchester United pada tempoh terdekat ini," katanya.

Musim ini, van de Beek hanya meraih dua penampilan secara keseluruhan dengan kedua-duanya direkodkan daripada bangku simpanan tatkala skuad The Red Devils terus bergelut.

Pemain tersebut bagaimanapun menjelaskan bahawa dia tidak pernah sesali keputusannya untuk menyertai kelab berkenaan.

"Saya cukup menghargai peluang diberikan Manchester United kerana saya berasakan saya miliki satu kerja cukup baik dengan peluang berlatih demi lencana di dada.

"Tetapi, saya kini sudah bersedia untuk mencurahkan tenaga sebaik mungkin. Jadi, pada saya, masa memainkan faktor amat penting dalam karier saya," katanya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram