Misi balas dendam JDT terhadap Kawasaki Frontale, Solari optimis anak-anak buah dah tahu nak buat apa


  • Podium
  • Jumaat, 24 Nov 2023

Solari pastinya mengharapkan persembahan lebih baik daripada anak-anak buahnya untuk meraih mata penting di tempat lawan. — Facebook/JOHOR Southern Tigers

PENGENDALI Johor Darul Takzim (JDT), Esteban Solari menghantar amaran jelas kepada Kawasaki Frontale dari Jepun bahawa Harimau Selatan sudah bersedia untuk membalas dendam dalam aksi Kumpulan I Liga Juara-Juara AFC (ACL) pada Selasa.

Dia menekankan keberaniannya itu memandangkan skuad Harimau Selatan akan bertandang ke Stadium Kawasaki Todoroki untuk berdepan juara empat kali Liga Jepun tersebut.

Solari berkata, dia tidak bimbang sebaliknya yakin anak buahnya boleh menewaskan Kawasaki Frontale di laman sendiri apabila kelab Jepun itu mengalahkan mereka 0-1 di Stadium Sultan Ibrahim, Johor pada September lepas.

"Kami tahu kami akan menentang pasukan besar (Kawasaki Frontale) dan seperti yang saya katakan sebelum ini, ia bukanlah satu perlawanan yang mudah.

"Tetapi kami pamerkan kami adalah pasukan yang kompetitif, kami akan bersaing dengan semangat yang sama dan cuba memenangi perlawanan ini,” katanya.

2352644

JDT sebelum ini pulang dengan tangan kosong selepas tumpas kepada Kawasaki Frontale. Facebook/JOHOR Southern Tigers

Solari berkata demikian pada sidang media selepas pasukannya menewaskan Kuching City FC 2-0 dalam aksi Liga Super di tempat sendiri pada Khamis.

JDT mengorak langkah sumbang memulakan kempen ACL 2023/2024 di laman sendiri apabila tewas 1-0 kepada Kawasaki pada 19 September lepas.

Kali ini, Solari yakin pemainnya lebih fokus dan bermotivasi kerana mereka tahu kepentingan perlawanan itu.

"Kami kuat dalam pertahanan dan serangan, kami percaya kami boleh melakukannya (menang) yang menjadi sasaran kami,” katanya.

Kawasaki Frontale mendahului Kumpulan I dengan 12 mata manakala JDT menduduki tempat ketiga dengan enam mata iaitu berkongsi kedudukan dengan kelab Ulsan Hyundai yang mendahului dengan perbezaan gol. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram