KONSERT Coldplay yang diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada Rabu lalu menerima sambutan cukup menggalakkan apabila dianggarkan lebih 76,000 penonton hadir.
Bagaimanapun, penganjuran tersebut menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan peminat bola sepak tanah air dengan venue berkenaan akan digunakan untuk aksi final Piala Malaysia pada 8 Disember nanti.
Kegelisahan itu dilihat kian memuncak apabila pemilik Johor Darul Takzim (JDT), Tunku Ismail Idris berkongsi sekeping gambar memaparkan keadaan padang sedikit rosak selepas konsert berkenaan tanpa sebarang 'caption', sekali gus mengundang polemik dalam kalangan peminat fanatik bola sepak tempatan.
Berdasarkan gambar itu, keadaan terkini padang stadium terbabit dilihat kurang memuaskan sehingga menyebabkan ramai yang harus memikirkan sendiri apakah maksud sebenar Insta Story TMJ.
TMJ memberi perkongsian terkini mengenai status semasa padang di Stadium Nasional Bukit Jalil.
TMJ sebelum ini dilaporkan menyuntik dana besar dalam membantu usaha Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) untuk mengubah rumput Stadium Nasional Bukit Jalil dari jenis cow grass kepada Zeon Zoysia.
Ia pada awalnya mengundang pelbagai kritikan ketika aksi Pestabola Merdeka menentang India pada 13 Oktober lalu apabila padang mudah rosak sepanjang perlawanan.
Bagaimanapun, kualitinya difahamkan sudah kembali pulih semasa perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menentang Kyrgyzstan.
Tetapi, dengan keadaannya dilihat seolah-olah rosak, orang ramai semestinya mempersoalkan usaha PSM dalam memastikan stadium berkenaan akan dapat digunakan untuk pentas akhir Piala Malaysia bulan depan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram