Disamakan dengan bintang Spurs, Korea-Ninja gerun aksi pemain No 12 HM


  • Podium
  • Jumaat, 24 Nov 2023

Arif Aiman (kiri) membuat empat hantaran bantuan sekali gus membantu Harimau Malaya menewaskan Kyrgyszstan 4-3 dalam pusingan kelayakan Piala Dunia/Piala Asia di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada Khamis lalu. — Facebook/FAM

KECEMERLANGAN yang dipamerkan oleh pemain muda berbakat, Arif Aiman Hanapi pada ketika ini amat mengagumkan sekali gus membuka mata penyokong dalam industri bola sepak dalam dan luar negara.

Walaupun baru berusia 21 tahun, namun kehebatan pemain sayap kelab gergasi Johor Darul Takzim (JDT) itu tidak boleh disangkal lagi. Malah dia merupakan salah seorang pemain negara yang cukup digeruni oleh pihak lawan.

Bukan itu sahaja, tahap kemajuan dan kematangan yang dicapai Arif Aiman ketika ini turut menarik perhatian pakar bola sepak tempatan sehingga beberapa bekas jurulatih dan pengendali pasukan menyifatkan dia sebagai pemain terbaik Asia dalam pembikinan.

Pada ketika ini, pemain yang dinobatkan sebagai Pemain Paling Bernilai (MVP) Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2021 dan 2022 itu, mengumpul keseluruhan 13 gol musim ini iaitu lapan dalam Liga Super, tiga (Piala Malaysia) dan dua gol dalam Liga Juara-Juara Asia (ACL) 2023.

2277369

Arif Aiman antara pemain terbaik dalam skuad kebangsaan kendalian Kim Pan-gon. — Facebook/FAM

Malah, aksi kehebatan pemain kelahiran Maran, Pahang di atas padang turut sememangnya ditunggu-tunggu oleh penyokong tempatan dan menganggap pemain lincah itu sebagai watak utama setiap kali diturunkan dalam kesebelasan skuad Harimau Malaya.

Hal itu terbukti apabila rata-rata penyokong berpuas dengan prestasinya ketika skuad kebangsaan menewaskan Kyrgyszstan 4-3 dalam pusingan kelayakan Piala Dunia/Piala Asia di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada Khamis lalu.

Itu di peringkat skuad nasional, belum lagi di peringkat kelab yang mana terbaharu, Arif Aiman menjaringkan dua gol ketika menentang BG Pathum United yang membantu JDT menang 4-2 dalam aksi peringkat kumpulan I ACL 2023.

Arif Aiman juga mencipta satu assist ketika Harimau Selatan menentang Ulsan Hyundai pada 7 November lalu dengan JDT menang 2-1 ke atas kelab Korea Selatan itu.

JDT seterusnya akan berdepan kelab Jepun, Kawasaki Frontale pada 28 November ini dalam misi balas dendam selepas pasukan itu terdahulu tewas 0-1 pada 19 September lepas.

Tentunya Arif Aiman akan diturunkan dalam kesebelasan utama berdepan kelab itu dengan penyokong dari negara Matahari Terbit itu sudah memantau kehebatan Arif Aiman di atas padang.

405532856_824092633059528_8142173001505576629_n

Kebolehan Arif Aiman di peringkat domestik tidak boleh dipersoalkan lagi.

Bukan sahaja penyokong dari Jepun, malah pemain ke-12 Korea Selatan juga menggeruni kelincahan Arif Aiman yang dilihat sukar dikawal oleh benteng lawan.

Menerusi satu hantaran komen di laman YouTube media antarabangsa Sion TV, @korea-ninja menyifatkan sekiranya Korea menentang Harimau Malaya, mereka harus berwaspada dengan Arif Aiman selepas menyaksikan aksi pemain tersebut ketika skuad kebangsaan menewaskan Kyrgyszstan.

Pada perlawanan tersebut, pemain berketinggian 1.70 meter itu bertindak sebagai pencetus keempat-empat jaringan skuad negara.

"Jika kita menentang Malaysia, kita perlu berhati-hati dengan pemain nombor 12 (Arif Aiman). Bukan itu saja, Arif Aiman mengingatkan saya kepada Son Heung-min (yang beraksi bersama kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) Tottenham Hotspur) ketika Korea menentang Portugal," tulisnya.

Sebelum ini, pengendali Taiwan, Gary White juga turut mengakui Arif Aiman memberikan banyak masalah kepada pasukannya ketika tewas 0-1 dalam aksi kedua Kumpulan D, Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 di Stadium Perbandaran Taipei pada Selasa. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram