Ditewaskan JDT, Aidil Sharin akui 2 kesilapan bawa padah buat Kuching City


  • Podium
  • Jumaat, 24 Nov 2023

Beberapa pemain Kuching City cuba merampas bola daripada tonggak JDT, Nazmi Faiz Mansor (jersi biru). — Facebook/MFL

KETUA Jurulatih Kuching City FC, Aidil Sharin Sahak merumuskan dua kesilapan yang dilakukan anak buahnya menyumbang kepada kekalahan 0-2 kepada Johor Darul Takzim (JDT) dalam aksi Liga Super 2023 pada Khamis, lapor Stadium Astro.

Selepas beraksi baik dalam 20 minit pertama dengan mengekang asakan JDT, satu kesilapan dengan tidak menutup ruang kepada penyerang berbisa Harimau Selatan, Bergson da Silva membolehkan pemain itu meledakan percubaan untuk gol pertama JDT pada minit ke-34.

WhatsApp Image 2023-11-24 at 15.38.18 (1)

Bergson (kiri) mencetak satu gol menerusi rembatan kencang luar kotak penalti membantu JDT tundukkan Kuching City. — Facebook/MFL

"Kami bermain baik dalam 20 minit pertama. Tetapi satu kesilapan dilakukan selepas itu iaitu beri peluang kepada Bergson untuk rembat dari jarak jauh.

"Kita tahu JDT kalau mereka tidak dapat masuk dalam petak mereka akan cuba lakukan percubaan dari jarak jauh.

"Dan menuju penghujung separuh masa pertama kami lakukan satu lagi kesilapan dengan berikan sepakan percuma depan kotak penalti. Ia jaringan yang cantik dan kita perlu akuinya.

"Tapi kami sepatutnya tidak melakukan kesilapan itu," kata Aidil.

Kuching tewas dengan dua jaringan JDT di separuh masa pertama menerusi Bergson pada minit ke-34 dan Juan Muniz pada minit ke-43.

Tiada jaringan terhasil di separuh masa kedua dengan Kuching City berjaya mengekang asakan pasukan tuan rumah.

"Babak kedua kami beraksi dengan lebih baik.

"Kami tidak bolos banyak seperti beberapa pasukan yang lain. Justeru ia sesuatu yang positif buat pasukan kami untuk perlawanan akan datang," jelasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram