Arif Aiman antara 3 faktor Faisal Halim mungkin perkasakan JDT musim depan


  • Podium
  • Jumaat, 24 Nov 2023

Faisal (jersi kuning) ketika beraksi bersama Harimau Malaya berdepan Chinese Taipei. — Facebook/FAM

MESKIPUN saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini masih belum melabuhkan tirai sepenuhnya, spekulasi perpindahan pemain untuk musim depan sudah mula hangat.

Kebanyakan spekulasi itu bermain di media sosial dan ia lebih menarik perhatian peminat bola sepak tempatan apabila membabitkan beberapa nama besar serta berstatus pemain kebangsaan.

Paling mencuri tumpuan adalah spekulasi membabitkan pemain sayap lincah Harimau Malaya, Faisal Halim.

Faisal atau mesra dengan panggilan Mickey yang beraksi bersama Selangor FC sejak awal musim dikaitkan dengan perpindahan ke pasukan juara bertahan Liga Super, Johor Darul Takzim (JDT).

Malah, gosip perpindahan itu dianggap benar selepas pemilik kelab itu, Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Idris pernah menyebut bahawa mereka akan mendapatkan seorang pemain tempatan untuk menguatkan lagi skuad pada musim akan datang.

WhatsApp Image 2023-11-23 at 18.03.25

Arif Aiman (tengah) beraksi cemerlang bersama Harimau Malaya dengan membuat empat 'assists' ketika berdepan Kyrgyzstan. — Facebook/FAM

Majoriti menyenaraikan tiga faktor kedatangan Faisal boleh perkasakan JDT musim depan, andai khabar angin itu terbukti benar.

1) Tawaran lumayan dibuat terhadap Selangor

Sebelum ini, ada khabar angin yang mengatakan bahawa pemain berusia 25 tahun tersebut dilihat sudah menandatangani dokumen yang difahamkan adalah kontrak lanjutan bersama Selangor FC.

Meskipun begitu, Mickey masih mempunyai peluang untuk berhijrah ke pasukan yang berpangkalan di Selatan itu sekiranya JDT membayar pampasan terhadap perpindahannya.

Malah, sekiranya JDT menawarkan tawaran lumayan kepada Mickey, sudah pasti pemain berketinggian 1.58 meter itu dilihat mahu mempertimbangkan apa yang terhidang di depannya.

Dalam pada itu, Mickey masih mempunyai peluang untuk membuat pilihan sama ada kekal di Selangor atau berhijrah ke Johor.

2) Arif Aiman ke liga luar

Sebelum ini, nama penyerang berbisa Harimau Malaya, Arif Aiman Hanapi pernah dikhabarkan bakal berhijrah ke luar negara.

Arif Aiman pernah dilaporkan sedang diintai beberapa kelab dari Jepun dan Korea Selatan selepas mereka terpikat dengan bakat pemain berusia 21 tahun itu.

Kelab Liga 1 Jepun (Liga J), Kashiwa Reysol, dikatakan antara kelab yang berminat untuk merekrut Arif Aiman, yang kini sudah meledak dua gol dan satu assists dalam saingan Liga Juara-Juara AFC (ACL).

Dalam pada itu, sekiranya JDT kehilangan Arif, mereka pastinya akan cuba menggantikannya dengan Faisal yang juga bekas pemain Terengganu FC itu.

Hal ini kerana, gaya permainan Mickey dan Arif yang lincah dan konsisten di atas padang dikatakan sama dengan mereka berjaya mengucar-ngacirkan benteng pertahanan lawan.

3) MFL kecilkan kuota import

Sekiranya Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) mengecilkan kuota import untuk musim depan, pastinya ia akan memberi peluang kepada para pemain tempatan untuk lebih menyerlah.

Bukan sahaja memberi peluang kepada pemain tempatan malah ia dilihat akan membantu kelab Liga M agar tidak berbelanja secara berlebihan dalam membawa masuk import.

Berikutan perkara itu, kehadiran Mickey ke Harimau Selatan adalah tepat kerana Harimau Selatan dilihat akan menggunakan khidmat pemain tempatan berbanding import. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram