PEMAIN baharu skuad Bawah 23 Tahun (B-23) negara, Richard Chin kini dalam misi tersendiri untuk beraksi dalam Harimau Muda pada masa terdekat.
Malah, bek kiri tersebut dilihat cukup bersemangat apabila dia sudah memasang cita-cita bagi menguasai Bahasa Melayu supaya memudahkan proses komunikasinya bersama rakan sepasukan.
"Pemain di sini sememangnya mengalu-alukan kehadiran saya. Saya akan cuba untuk belajar bahasa ibunda bagi membolehkan saya berhubung dengan rakan sepasukan di atas padang.
"Ia merupakan satu pengalaman cukup baik buat saya dalam masa singkat ini. Saya baru sahaja berlatih dengan pasukan sebanyak dua kali dan beraksi dalam satu aksi perlawanan menentang PDRM FC," katanya.
Richard Chin (kanan) kini masih bersama Charlton Athletic yang disertainya sejak berusia enam tahun. — Agensi
Richard Chin menyertai kem latihan skuad B-23 negara yang sedang dalam persiapan untuk berentap dalam Piala Asia B-23 di Doha, Qatar bermula April akan datang.
Kemasukannya dijangka akan memarakkan lagi kualiti skuad kendalian Juan Torres Garrido berdasarkan pengalamannya beraksi di liga bawahan England bersama Charlton Athletic.
"Juan dan Shukor (Adan) cukup baik dengan saya kerana mereka sering memberikan saya maklumat serta informasi terperinci yang membuatkan saya amat tertarik.
"Sudah tentu saya bercita-cita untuk menyarung jersi skuad kebangsaan pada masa akan datang. Proses pendaftaran sedang berjalan lancar walaupun saya faham ia agak sukar," katanya.
Harimau Muda baru-baru ini diundi dalam Kumpulan D Piala Asia B-23 di samping Vietnam, Uzbekistan dan Kuwait dengan lawan mereka sememangnya tidak boleh dipandang rendah. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram