Debut Natxo Insa, amarah Feroz Baharudin beri kemenangan ke-23 buat Harimau Selatan


  • Podium
  • Khamis, 23 Nov 2023

Kesebelasan utama JDT ketika beraksi menentang Kuching City pada Khamis. — Facebook/JDT

TANPA Arif Aiman Hanapi, Johor Darul Takzim (JDT) dilihat tidak mempunyai masalah untuk terus melakarkan kemenangan ke-23 liga selepas menewaskan Kuching City dengan keputusan 2-0 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor pada Khamis.

Pengendali JDT, Esteban Solari tidak menurunkan pemain-pemain bintang seperti Arif Aiman, La'Vere Corbin-Ong, Matthew Davies, dan Syihan Hazmi kerana baru selesai tugasan bersama skuad kebangsaan.

JDT yang bermula perlahan pada awal permainan berjaya membolosi gawang lawan pada minit ke-34 selepas Bergson da Silva melakukan rembatan deras di luar kotak penalti.

Kuching City yang dilihat begitu disiplin dalam membentuk benteng pertahanan menyukarkan Fernando Forestieri dan Bergson untuk menambahkan jaringan.

Namun sebelum tamat babak separuh masa pertama, Harimau Selatan berjaya menambah jaringan menerusi sepakan percuma hasil tendangan Juan Muniz pada minit ke-42.

Feroz Baharuddin

Feroz dilihat gagal mengawal emosi dalam perlawanan menentang Kuching City. — Facebook/JDT

Bersambung babak kedua, JDT terus memberikan tekanan kepada anak-anak buah Aidil Shahrin, namun gagal menambah jaringan.

Kuching City yang lebih gemar bermain secara defensif cuba melakukan serangan menerusi 'counter attack' dan hantaran jauh tetapi berjaya di atasi pertahanan Harimau Selatan.

Melihat percaturan The Cats yang lebih gemar bertahan, Esteban Solari melakukan pertukaran pemain sekali gus menyaksikan debut Natxo Insa musim ini selepas berehat panjang akibat mengalami kecederaan.

Pada minit ke-79, Natxo Insa nyaris menjaringkan gol menerusi tandukan sepakan penjuru sebelum ia berjaya ditepis keluar oleh Wan Muhammad Azraie (Kuching City).

Keputusan kekal 2-0 sehingga pengadil perlawanan, Mohd Kamil Zakaria meniupkan wisel penamat.

Natxo Insa

Natxo (kiri) melakukan debut pada musim ini. — Facebook/JDT

Walaupun JDT berjaya mengutip tiga mata penuh, penyokong-penyokong Harimau Selatan dalam ruangan komen Facebook, JOHOR Southern Tigers, menyeru pemain-pemain muda supaya matang dalam perlawanan dan mengambil peluang untuk menunjukkan kualiti mereka di atas padang.

"Daryl Sham kena ambil peluang untuk 'fight' posisi dengan Arif Aiman, perlu buktikan 'performance' yang lebih 'outstanding'," kata Yassir Arafat.

"Feroz Baharudin kena kawal emosi, disauknya kepala pemain lawan tadi," ujar Fadzli Markhan.

"Daryl perlu berani untuk menjaringkan gol," jelas Abu Mohd Yusof.

"Entahlah Kunimoto ini, sama macam pemain tempatan, lagi baik Safiq Rahim daripada dia," luah Stanley Jua.

Kemenangan itu menyaksikan JDT mengutip 70 mata untuk berada di persada liga, manakala Kuching City FC menduduki tangga kedua tercorot dengan sembilan mata selepas 24 perlawanan.

Kelantan pula di kedudukan terbawah dengan lapan mata.

JDT dijadual berdepan Sri Pahang FC pada 3 Disember dan Penang FC pada 17 Disember. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram