MENJADI sebahagian daripada pemain beregu dalam sukan badminton mempunyai cabaran yang tersendiri. Kerjasama merupakan elemen paling penting untuk pastikan gandingan tersebut memperoleh kejayaan.
Selain kerjasama, keserasian juga perlu ada. Keserasian dari segi corak permainan dapat memastikan kemenangan berjaya diraih sekali gus bergelar juara.
Namun sudah adat menjadi atlet, pasti akan ada pasang surutnya, begitu juga dengan pemain badminton. Apabila diuji, prestasi pasti sedikit sebanyak akan terganggu ketika beraksi di gelanggang.
Itulah yang terjadi kepada pasangan beregu wanita negara iaitu Pearly Tan-M Thinaah. Sebelum ini, mereka adalah pasangan beregu yang sering diraikan dalam kalangan peminat badminton negara.
Isu melibatkan Pearly-Thinaah merisaukan peminat badminton Malaysia. — Agensi
Namun begitu, tiba-tiba saja prestasi beregu tersebut berada dalam situasi membimbangkan. Ia semakin jelas apabila mereka terkandas pada pusingan pertama China Masters yang diadakan di Shenzhen, China.
Pasangan beregu negara itu tewas kepada gandingan Korea Selatan, Jeong Na-eun dan Kim Hye-jeong dengan keputusan 11-21, 21-15, 22-20.
Kekalahan itu mendapat reaksi oleh Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Manaiky yang keliru melihat permasalahan melibatkan dua pemain tersebut.
Menulis di laman Instagramnya, Rexy mengatakan pemain-pemain wanita bersifat sensitif kerana bila-bila masa saja boleh berubah.
"Itu adalah bahagian sukar dalam menguruskan pemain-pemain wanita. Kerana mereka sungguh sensitif, tiba-tiba saja perkara ini boleh berlaku," kata Rexy di akaun Instagramnya.
Komen Rexy mengenai isu semasa melibatkan Pearly-Thinaah. — Instagram/@rexy9627
Apa yang dituliskan oleh Rexy itu menimbulkan spekulasi gandingan Pearly-Thinaah berkemungkinan dalam masalah. Akan tetapi, ia tidak dapat dipastikan apa permasalahan sebenar dihadapi mereka.
Salah faham dalam gandingan badminton merupakan lumrah. Sebelum itu, berlaku juga isu tersebut melibatkan gandingan beregu lelaki iaitu Goh Sze Fei dan Nur Izzudin.
Gandingan Pearly-Thinaah bukan saja wakil negara yang terkandas dalam pusingan pertama China Masters. Dua lagi gandingan beregu wanita negara turut tumpas di pusingan sama.
Gandingan Vivian Hoo-Lim Chiew Sien kalah kepada wakil Thailand, Benyapa Aimsaard-Nuntakarn Aimsaard dengan keputusan 16-21, 12-21.
Sementara gandingan Anna Ching Yik Cheong-Teoh Mei Xing terpaksa menarik diri daripada bertemu wakil China, Li Yin Jing-Luo Xu Min. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram