[VIDEO] 'Plot twist' Kumpulan D, laluan Harimau Malaya makin cerah ke Piala Dunia?


  • Podium
  • Rabu, 22 Nov 2023

Harimau Malaya kini menduduki tempat pertama dalam Kumpulan D selepas berjaya menewaskan Chinese Taipei.

PASUKAN Kyrgyzstan berjaya bangkit daripada kekalahan lalu di tangan Harimau Malaya apabila menewaskan Oman dengan keputusan 1-0 dalam perlawanan kedua Kumpulan D saingan pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 pada Selasa.

Kemenangan skuad kendalian Stefan Tarkovic menentang Oman di halaman sendiri itu ibarat memberikan kelebihan buat Harimau Malaya untuk melangkah lebih jauh dalam kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 selepas berjaya menewaskan Chinese Taipei dengan keputusan 1-0 pada Selasa.

Pemain tengah Kyrgyzstan, Odilzhon Abdurakhmanov menjadi wira pasukan apabila menjaringkan gol pada minit ke-49 pada aksi menentang Oman yang ingin meneruskan rentak kemenangan selepas berjaya menewaskan Chinese Taipei dengan keputusan 3-0 pada Khamis lalu.

Oman dilihat bergelut untuk beraksi di Stadium Dolen Omurzakov, Kyrgyzstan akibat cuaca yang sejuk sehingga melambatkan tempo permainan anak-anak buah Branko Ivankovic.

Jaringan tunggal Abdurakhmanov itu kekal sehingga wisel penamat dibunyikan sekali gus memberikan kemenangan pertama buat pasukan tuan rumah dalam saingan kelayakan kali ini.

Kejayaan Kyrgyzstan itu ternyata memberikan kelebihan buat Harimau Malaya untuk menghuni tangga teratas dalam carta kumpulan D.

Sebelum perlawanan di antara Kyrgyzstan dan Oman bermula, skuad kebangsaan terlebih dahulu berjaya mencatat kemenangan ke atas Chinese Taipei dengan keputusan 1-0 menerusi jaringan Darren Lok yang masuk menggantikan Paulo Josue.

Malaysia terpaksa bekerja keras dengan beraksi di atas permukaan padang yang tidak baik apabila menyukarkan pemain-pemain negara untuk memanfaatkan deretan peluang dimiliki.

Kumpulan D

Kedudukan semasa Kumpulan D selepas dua perlawanan. Facebook/FAM

Saingan kelayakan akan berehat bagi memberi laluan kepada kejohanan Piala Asia 2023 yang akan berlangsung di Qatar pada Januari nanti.

Harimau Malaya dijadualkan bertemu Oman di tempat lawan pada 21 Mac tahun depan dan menjadi hos kepada pasukan itu pada 26 Mac, diikuti berdepan Kyrgyzstan di tempat lawan pada 6 Jun sebelum kembali menerima kunjungan Taiwan pada 11 Jun. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram