Perjalanan Sabah masih jauh, ada banyak lagi perlu diperbaiki — Saddil


  • Podium
  • Jumaat, 10 Nov 2023

Saddil mencipta dua bantuan jaringan untuk membantu skuad Sang Badak membenam Hai Phong FC. — Facebook/Sabah FC

SETELAH tumpas dalam aksi ketiga kumpulan tempoh hari, Sabah FC bangkit mengumpul tiga mata ketika menerima kunjungan Hai Phong FC di Stadium Likas, Sabah pada Khamis.

Anak-anak buah Datuk Ong Kim Swee berada di depan seawal minit ke-20 menerusi jaringan Daniel Ting sebelum penyerang mereka, Darren Lok menggandakan kelebihan.

Skuad Sang Badak semakin selesa pada babak kedua apabila Gabriel Peres mendapatkan gol ketiga pasukan menerusi satu tandukan tepat.

Meskipun Hai Phong FC cuba merapatkan jaringan, Sabah FC akhirnya menutup hari perlawanan itu dengan gol lewat daripada Jafri Firdaus Chew yang menyaksikan keputusan akhir 4-1 berpihak kepada mereka.

Kemenangan berkenaan sekali gus meletakkan mereka di tangga teratas Kumpulan H dengan tiga mata membezakan pasukan Borneo berbanding lawan dari Vietnam itu.

399601007_727351089431585_5129943434986790838_n

Daniel Ting membuka jaringan buat skuad Sang Badak. — Facebook/Sabah FC

Kedudukan berkenaan membuka peluang cerah buat mereka melayakkan diri ke pusingan seterusnya dengan hanya dua perlawanan kumpulan berbaki.

Bagaimanapun, bagi tonggak Sang Badak, Saddil Ramdani, masih terdapat ruang untuk diperbaiki setiap kali Sabah FC beraksi di pentas Asia.

"Saya sendiri belum berpuas hati kerana terdapat banyak lagi perlu diperbaiki untuk perlawanan akan datang. Kami memiliki pasukan yang bekerjasama dan kuat setiap kali turun ke padang.

"Jurulatih yang berkualiti dan barisan pelatih juga sentiasa mahu memastikan setiap pemain bermain dengan baik ditambah memahami taktikal yang mahu diterjemahkan," katanya.

Meskipun tidak meletakkan nama dalam senarai penjaring, Saddil masih memainkan peranan cukup besar dalam aksi pada Khamis itu apabila dia merekodkan dua bantuan jaringan.

399608962_727351586098202_2071133518383820054_n

Peluang skuad Sang Badak untuk mara semakin cerah. Facebook/Sabah FC

Sumbangan tersebut sekali gus menaikkan lagi namanya dalam saingan Piala AFC musim ini dengan dia merupakan antara pencipta gol terbanyak.

Jelasnya lagi, harapan masih tinggi buat pasukannya untuk terus mempamerkan persembahan lebih baik dalam usaha menaikkan lagi reputasi pasukan.

"Kami berharap untuk terus menampilkan yang terbaik buat Malaysia, kelab kebanggaan Malaysia iaitu Sabah FC. Setiap perlawanan memiliki kualiti tersendiri.

"Setiap apa yang diusahakan dapat diterjemahkan dan kami mahu memastikan keputusan yang positif terus diperoleh dan mengharapkan sesuatu dapat dihasilkan dalam kejohanan kali ini," katanya.

Skuad Sang Badak bakal berdepan Kelantan FC dalam aksi Liga Super 20 November nanti dalam usaha menambah baik kedudukan dalam carta. — Stadium Astro

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram