AKSI Kumpulan D pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027 yang menyaksikan momen kebangkitan Malaysia menang 4-3 ke atas Kyrgyzstan masih segar dalam ingatan penyokong yang rata-ratanya kagum dengan semangat lawan pemain skuad kebangsaan.
Selain daripada momen kebangkitan kembali Harimau Malaya di babak akhir perlawanan, wajah kacak pemain pemain-pemain skuad The White Falcons pula masih menjadi igauan penyokong wanita.
Misalnya ketampanan tonggak berjersi 17 iaitu Alykulov Gulzhigit menerima pujian daripada penyokong kaum Hawa dan aksi cemerlangnya dałam memainkan peranan sebagai sayap kiri juga mendapat respons positif daripada pengikut bola sepak tanah air.
Alykulov pemain muda yang sering mendapat tempat bagi pasukan kebangsaan Kazakhstan. — Instagram/ Alykulov
Untuk rekod, Alykulov baru sahaja berhijrah ke kelab divisyen satu Liga Belarus iaitu Neman Grodno dan berpeluang melakukan debut di pentas Eropah dengan beraksi di pusingan kelayakan Europa Conference League (UECL).
Sebelum menyertai Neman Grodno, pemain berwajah ‘jambu’ itu antara tonggak Kairat Almaty iaitu kelab divisyen satu Kazakhstan yang mana dia membantu pasukannya memenangi Kazakh Champion (2019/20) dan Kazakh Cup Winner pada musim 2020/21.
Melihat kepada kualiti pemain berusia 22 tahun itu pasti ada beberapa kelab Liga Super sudah mula memantaunya di peringkat kelab ataupun perlawanan sebelum ini untuk mempelawa Alykulov beraksi di saingan Liga Malaysia (Liga M).
Kali ini Majoriti mencadangkan tiga kelab Liga Super yang sesuai melakukan bidaan untuk merekrut pemain yang pernah merangkul Anugerah ‘Footballer of The Year’ untuk Kazakhstan pada 2020 itu:
1) KDA FC
Partiban menyertai Kedah secara pinjaman pada Julai lalu. — Facebook/KDFC
Kedah Darul Aman (KDA) FC menjadi destinasi pertama yang dirasakan sesuai untuk pemain berketinggian 1.69 meter kerana skuad Hijau Kuning itu kini hanya bergantung harap kepada pemain pinjaman, J. Partiban yang menyertai kelab berkenaan pada jendela perpindahan pada Julal lalu.
Sekiranya Kuala Lumpur (KL) City FC memanggil kembali pemain berusia 30 tahun itu, posisi sayap kiri Kedah akan tempang dengan hanya mampu berharap kepada Fayadh Zulkifli Amin memandangkan Penang FC juga mungkin akan kekalkan Al Hafiz Harun pada musim depan.
Bercakap mengenai Fayadh, pemain berusia 25 tahun itu tidak berada dalam prestasi terbaiknya apabila masih buntu mencetak sebarang gol dalam 21 aksi Liga Super dia diturunkan setakat ini.
Oleh itu, Alykulov adalah jawapan untuk KDA FC menyelesaikan isu ketempangan pemain sayap kiri dan pengalamannya dapat membantu Kedah jika Hijau Kuning berhasil mendapatkan slot ke Piala AFC musim depan.
2) Perak FC
Wan Zack salah seorang pemain berpengalaman dalam skuad TBG. — Facebook/PerakFC
Melihat kepada senarai pemain Perak FC, Wan Zack Haikal adalah satu-satunya pemain berpengalaman yang beraksi di posisi sayap skuad The Bos Gaurus (TBG) musim ini dan selebihnya ubi muda seperti Amirul Akmal, Aris Asri serta Arif Shaqirin.
Disebabkan kekurangan pemain sayap baik bahagian kanan mahupun kiri, Yusri Che Lah menggunakan khidmat import Korea Selatan, Seo Seon-ung untuk beraksi di posisi berkenaan untuk saingan Liga M musim ini.
Namun bagi menghadapi saingan musim 2024 yang dijangka lebih banyak cabaran, pengendali kelahiran Perlis itu sudah boleh mempertimbangkan untuk merekrut seorang lagi pemain sayap berkualiti seperti Alykulov.
Pemain Kazakhstan itu sesuai untuk mendapatkan ilmu dari pengendali seperti Yusri yang sememangnya dikenali dalam mengeluarkan potensi ubi muda dengan memberi mereka banyak minit permainan.
3) Sabah FC
Aksi Alykulov bersama Neman Grodno. — Instagram/ Alykulov
Kelab yang kini mempunyai reputasi tersendiri dalam peringkat Piala AFC selepas merekodkan tiga kemenangan dalam saingan kumpulan, Sabah FC antara pasukan idaman para pemain luar negara jika mereka berhasrat untuk beraksi di saingan domestik.
The Rhinos bagaimanapun mengalami masalah skuad depth terutamanya di bahagian sayap apabila Datuk Ong Kim Swee banyak menggunakan khidmat import lincah Indonesia, Saddil Ramdani untuk saingan Liga M mahupun Piala AFC.
Tidak dinafikan Saddil merupakan kunci bahagian serangan The Rhinos dengan membantu membuat lima hantaran bantuan dalam empat aksi di peringkat Piala AFC setakat ini namun Kim Swee pasti masih memerlukan pemain sandaran untuk posisi sayap kiri.
Pemain lain seperti Farhan Roslan tidak dapat dinafikan boleh mengisi posisi tersebut namun anak jati Kedah itu masih belum boleh menandingi Saddil untuk merebut minit permainan.
Alykulov yang tidak menunggu lama untuk menunjukkan kualitinya bersama Neman Grodno dengan mencetak dua jaringan gol dan empat hantaran bantuan dalam 12 aksi Liga Vysheyshaya (Belarus), antara calon sesuai untuk menambah baik skuad depth Sabah FC. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram