Pencalonan ABK23: Kenapa Manny Ott, bukan Bojan Ciger?


  • Podium
  • Rabu, 01 Nov 2023

Ciger mencatatkan lebih 1,965 minit permainan dalam 22 perlawanan Liga Super bersama Sang Kenari musim ini. — Facebook/KDAFC

ANUGERAH Bola Sepak Kebangsaan 2023 (ABK) akan menemui penyokong tanah air dengan ia dijadualkan berlangsung pada Disember ini, malah ia bertambah menarik apabila dua kategori tambahan diperkenalkan sekali iaitu Pemain Terbaik Piala MFL dan Penjaring Terbanyak Piala MFL.

Selain daripada penambahan dua kategori baharu itu, 14 kategori lain adalah Anugerah Fair Play, Penjaring Terbanyak Tempatan Liga Super dan Penjaring Terbanyak Liga Super, FAN XI, Jurulatih Terbaik, Pasukan Terbaik dan Gol Terbaik Liga Malaysia (Liga M) 2023.

Selain itu, kategori bagi setiap posisi turut dipertandingkan membabitkan Penjaga Gol Terbaik, Pertahanan Terbaik, Pemain Tengah Terbaik, Penyerang Terbaik, Pemain Muda Terbaik dan Pemain Import Terbaik.

Pencalonan Pemain Import Terbaik pasti menjadi kategori yang ditunggu-tunggu penyokong berikutan ramai ingin menyaksikan siapakah tonggak luar negara paling berbaloi dan memberi impak dalam saingan Liga Malaysia (Liga M).

Abu Kamara (Kuching City FC); Ayron del Valle (Selangor FC), Bergson da Silva, Fernando Forestieri, Jordi Amat (Johor Darul Takzim); Ivan Mamut (Terengganu FC); Kpah Sherman (Sri Pahang FC); Luciano Guaycochea (Perak FC); Manuel Ott (Kedah Darul Aman FC) dan Saddil Ramdani dari Sabah FC.

import kedah

10 calon Pemain Import Terbaik. — Facebook/MFL

Dalam kalangan 10 calon pemain import itu, Ott menjadi antara yang dipersoalkan kerana bagi peminat Liga M khususnya penyokong Sang Kenari, persembahan ketua pasukan KDA FC itu dalam Sang Kenari musim ini tidaklah berada pada tahap memuaskan.

Bagi sebahagian penyokong Sang Kenari, persembahan konsisten Bojan Ciger menjaga barisan pertahanan KDA FC dilihat lebih sesuai untuk berada dalam senarai tersebut daripada pemain kebangsaan Filipina tersebut.

Jika kualiti persembahan diukur dengan jaringan gol dan hantaran bantuan, Ciger bukan jawapan tepat namun bercakap mengenai sumbangan berkualiti setiap minit di atas padang membuatkan pemain Serbia itu menjadi pilihan penyokong.

Ciger menerima pujian menggunung daripada penyokong dengan memuji kawalan bola yang mantap serta hantaran tepat ke arah rakan sepasukan dan walaupun beraksi sebagai bek tengah, dia kerap membantu bahagian serangan di hadapan.

ciger

Ciger diharap akan kekal menyarung jersi Kedah pada musim depan. — Facebook/KDAFC

Kereta kebal yang menyertai Kedah daripada kelab Uzbekistan, Navbahor Namangan itu mencatatkan lebih 1965 minit permainan dalam 22 perlawanan Liga Super dan berjaya menjaringkan satu gol serta satu hantaran bantuan.

Selain daripada itu, pemain berketinggian 1.86 meter itu juga dilihat mempunyai ciri-ciri untuk menjadi ketua pasukan apabila dia dilihat lebih bijak mengawal keadaan tegang ketika aksi menentang PDRM FC dalam aksi Liga Super pada Mac lalu.

Pada perlawanan itu, Ott dilihat gagal mengawal emosi sebagai ketua pasukan sehingga dia dilayangkan kad merah namun berbeza dengan Ciger dilihat mengingatkan Fayadh Zulkifli supaya bertenang dan walaupun diterjah lawan.

Perbezaan karakter dan persembahan dua pemain import itu membuatkan ramai penyokong Sang Kenari lebih memilih Ciger sebagai tonggak import terbaik pada musim ini sehingga dia diharapkan dikekalkan pada musim depan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram