NASIB buruk terus menimpa Kelantan FC apabila mereka menjadi pasukan pertama dalam sejarah Liga Super yang dibolosi lebih daripada 100 kali dalam semusim.
Catatan itu terhasil apabila skuad The Red Warriors (TRW) mengalami kekalahan 0-7 di tangan Sabah FC dalam aksi di Stadium UiTM, Selangor pada Isnin.
Jumlah terbabit dijangka terus meningkat memandangkan kelab Pantai Timur terbabit masih perlu berdepan Kedah Darul Aman (KDA) FC, PDRM FC dan Kelantan United.
Situasi itu menyebabkan penyokong Kelantan FC terus mendambakan pengurusan pasukan ketika ini untuk segera mencari solusi dengan meninggalkan jawatan masing-masing merupakan antara jalan terbaik.
Skuad TRW sudah dibolosi sebanyak 102 kali dalam hanya 23 aksi Liga Super. — Facebook/TRW Kelantan FC
Ini kerana ramai pihak berasakan tiada usaha dibuat dalam mengubah hala tuju skuad TRW dengan beberapa masalah luar padang turut menghantui mereka.
Kegagalan untuk menyelesaikan isu pembelian jersi dan pas bermusim serta masalah gaji pemain merupakan sebahagian perkara yang sering dibangkitkan baik di dalam stadium mahupun di media sosial.
Namun, dengan pihak pengurusan dilihat terus berdegil untuk 'angkat kaki', penyokong berasakan masih terdapat cara untuk mengembalikan Kelantan FC ke landasannya.
Meskipun cadangan terbabit sukar untuk direalisasikan, ia boleh dianggap sebagai pendekatan terbaik dalam memastikan hal sama tidak lagi berulang pada 2024.
Berdasarkan pandangan rata-rata penyokong Kelantan FC, ini merupakan tiga cara terbaik yang boleh diambil pihak pengurusan sekiranya mereka mahu membaiki semula reputasi pasukan.
1. Turun ke Liga M3
Sebelum ini, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Datuk Stuart Ramalingam memberi bayangan bahawa tiada penyingkiran bakal dibuat terhadap kelab tercorot Liga Super.
Dia bagaimanapun menegaskan situasi itu masih boleh berubah sekiranya terdapat kelab Liga M3 berjaya memperolehi lesen kebangsaan dalam masa terdekat.
Perkhabaran terbabit seakan-akan satu rahmat buat Kelantan FC dengan segelintir pihak berasakan pengekalan dalam divisyen teratas bola sepak tanah air akan memberi suntikan dana buat pasukan.
Penurunan ke Liga M3 boleh memberi nafas baharu buat pemain muda skuad TRW. — Facebook/TRW Kelantan FC
Tetapi, sekiranya dilihat semula, penurunan ke liga bawahan dijangka memberi nafas baharu buat skuad TRW yang sukar bersaing dalam Liga Super.
Selain tidak mempunyai barisan pemain terbaik, kos yang tinggi diperlukan untuk meneruskan operasi kelab dengan mereka perlu menyediakan skuad simpanan.
Jadi, sekiranya Kelantan FC mahu mendapatkan semula rentak dalam dunia bola sepak tanah air, penurunan ke Liga M3 boleh dianggap sebagai satu langkah terbaik untuk musim depan.
Pendekatan itu juga dijangka menyuburkan semula kepercayaan penyokong yang akan lebih tertarik untuk menyaksikan perlawanan di stadium, sekali gus menjana pendapatan lebih stabil.
2. Kekal guna pemain muda, jaga kebajikan
Sejak pertengahan musim lalu, Kelantan FC terpaksa memberi kepercayaan penuh terhadap ubi-ubi muda apabila mereka kehilangan khidmat hampir keseluruhan pemain senior.
Langkah tersebut memberikan kesan memberangsangkan pada awalnya apabila skuad TRW pernah meraih kemenangan ke atas Negeri Sembilan FC selain memberi tentangan ketika berdepan Penang FC.
Namun, pendekatan itu akhirnya membawa padah apabila mereka gagal meraih sebarang keputusan cemerlang dengan beberapa siri kekalahan memalukan dialami.
Ubi muda skuad TRW boleh dikatakan mempunyai masa depan begitu cerah. — Facebook/TRW Kelantan FC
Hal itu menyebabkan segelintir penyokong Kelantan FC mendesak agar taktikal sebegitu tidak lagi diambil kerana ia hanya membawa kerugian.
Tetapi, melihat kepada situasi kewangan pasukan, pendekatan sebegitu merupakan langkah terbaik dengan kos pembayaran gaji tidak akan membebankan kelab.
Bagaimanapun, ia hanya akan berhasil sekiranya kebajikan masing-masing dijaga kerana kegagalan untuk berbuat demikian hanya akan menjatuhkan moral masing-masing.
Gandingan ubi-ubi muda dengan pemain senior juga dilihat mampu meningkatkan lagi prestasi pasukan dengan mereka masih boleh direkrut pada jendela perpindahan akan datang.
3. Tarik lebih banyak penaja
Selepas tumpas kepada Sabah FC pada Isnin, CEO Kelantan FC, Ahamd Muzakkir Hamid menegaskan dia akan memberi usaha terbaik dalam menarik lebih banyak penaja.
Usaha itu dibuat bagi menyelesaikan isu gaji yang timbul sejak pertengahan musim dengan masalah terbabit dianggap sebagai 'pemusnah' skuad TRW.
Sekiranya dilihat secara munasabah, terdapat pelbagai pilihan syarikat yang terhidang buat kelab itu, lebih-lebih lagi yang bertapak di Kelantan untuk menjadi penaja baharu.
Norizam perlu mencari jalan baharu untuk menarik lebih banyak penaja. — Facebook/TRW Kelantan FC
Status kelab yang boleh menarik ribuan penonton di laman sendiri boleh digunakan sebagai asbab untuk mendapatkan penaja baik dari segi individu mahupun syarikat.
Di samping itu, pengalaman Muzakkir sebagai seorang yang sudah bertahun-tahun terlibat dalam dunia bola sepak juga mampu memberi kemudahan dalam mencari dana kelab.
Jika penaja lebih kukuh dapat ditarik, ia boleh menjadi satu batu loncatan buat Kelantan FC untuk kembali bersaing pada tahun-tahun akan datang.
Tetapi, pemilik kelab, Norizam Tukiman serta badan pengurusan perlu mencari kaedah bagi mengelakkan situasi seperti musim ini berulang sekiranya penaja lebih baik dapat dibawa masuk. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram