Ramai keliru keputusan tukar venue aksi Kelantan-Sabah ke Shah Alam


  • Podium
  • Sabtu, 18 Nov 2023

Stadium Sultan Muhammad ke-IV tidak akan dapat digunakan untuk aksi Liga Super antara skuad TRW dan Sabah FC pada Isnin.

KEADAAN cuaca yang tidak mengizinkan pada 29 September lalu menyaksikan aksi Liga Super antara Kelantan FC dan Sabah FC di Stadium Sultan Muhammad ke-IV, Kelantan terpaksa ditangguhkan.

Perlawanan berkenaan kemudiannya ditetapkan untuk diadakan pada 3 November, namun nasib malang sekali lagi dialami apabila ia juga terpaksa ditunda ke tarikh berbeza.

Isu tersebut dikatakan berpunca daripada permintaan kelab Borneo terbabit untuk menangguhkannya dengan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kelantan FC, Ahmad Muzakkir Hamid mengesahkannya.

Jadi, pihak Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) mengambil keputusan tegas dengan menetapkan pertembungan kedua-dua kelab bakal diadakan pada 20 November ini.

Bagaimanapun, masalah baharu timbul apabila Perbadanan Stadium Kelantan (PSK) mengumumkan perlawanan itu tidak dapat diadakan di Stadium Sultan Muhammad ke-IV.

403815053_926472979212961_5003668150541508971_n

Stadium Sultan Muhammad ke-IV tidak dapat digunakan untuk aksi Liga Super pada Isnin ini. Facebook/TRW Kelantan FC

Menurut satu notis yang dimuat naik di laman media sosial rasmi kelab, isu tersebut berpunca daripada venue berkenaan akan digunakan dari 19 sehingga 23 November.

"Sukacita saya maklumkan bahawa pihak Perbadanan Stadium Darul Makmur akan menganjurkan Kejohanan Sukan Antara Stadium Se-Malaysia (SUKAS) Negeri Pahang 2023.

"Sehubungan dengan itu, sebagai penghormatan kepada penganjuran ini, maka semua kakitangan PSK akan menyertai kejohanan tersebut," tulisnya.

Hantaran berkenaan turut disertakan dengan pemakluman bahawa aksi Liga Super antara Kelantan FC dan Sabah FC bakal diadakan di satu lokasi baharu.

"Pertukaran venue perlawanan 'home' tuan rumah Kelantan FC bertemu Sabah FC yang sepatutnya berlangsung di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV terpaksa diubah ke Stadium UiTM, Shah Alam.

"Kepada semua fans TRW Kelantan FC yang berada di sekitar Lembah Klang boleh mengambil kesempatan turun ke Stadium UiTM, Shah Alam memberi sokongan kepada TRW Kelantan FC," tulis kelab itu.

403863558_926123412581251_3197589084090621895_n

Pemegang tiket untuk aksi Liga Super berdepan Sabah FC tidak perlu membuat pembelian baharu. Facebook/TRW Kelantan FC

Keputusan berkenaan pastinya sedikit sebanyak mengecewakan penyokong skuad The Red Warriors (TRW) apabila sebahagian daripada mereka sukar untuk menempuhi perjalanan jauh itu.

Selain itu, ada juga yang membangkitkan persoalan mengenai pembayaran tiket memandangkan sebilangan daripada mereka sudah membeli tiket.

Meskipun hantaran lebih awal mengumumkan penyokong boleh menggunakannya untuk salah satu daripada dua aksi di tempat sendiri, maklumat berkenaan masih tidak diterima apabila ramai daripada mereka masih keliru.

"Macam mana dengan penyokong yang sudah membeli tiket sebelum ini? Tiada ke perancangan untuk membawa kami ke Shah Alam?" soal Pauzi Bejie Krwc.

"Baik main di padang Kompleks Sukan Universiti Sains Malaysia (USM) Kubang Kerian. Bukan ramai pun penonton turun untuk tonton," ujar Abe Pejanzs.

"Hahahaha macam-macam sahaja. Sekejap tukar tarikh, sekejap tukar stadium pula," kata Yus Hanamichi. Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram