Minta maaf, saya akan berusaha bawa balik penaja Kelantan — CEO TRW


  • Podium
  • Selasa, 21 Nov 2023

Ahmad Muzakkir berjanji akan cuba mencari jalan penyelesaian terbaik demi masa depan skuad TRW.

SATU lagi kekalahan mengecewakan dicatatkan Kelantan FC dalam Liga Super apabila mereka tumpas 0-7 kepada Sabah FC dalam aksi di Stadium UiTM, Shah Alam pada Isnin.

Keputusan tersebut sekali gus menyaksikan mereka mencipta nama sebagai pasukan pertama dibolosi lebih 100 gol dalam tempoh semusim.

Perkara itu pastinya sukar ditelan rata-rata penyokong kelab Pantai Timur berkenaan yang sudah kehilangan sabar dengan nasib semasa pasukan.

Di samping keputusan memalukan dalam setiap perlawanan, skuad The Red Warriors (TRW) juga difahamkan sedang bergelut dengan pelbagai masalah pengurusan.

Kekecewaan atas situasi berkenaan pastinya diajukan kepada pihak pengurusan, terutamanya pemilik kelab, Norizam Tukiman yang didesak untuk meninggalkan kelab terbabit.

404568841_733489928817701_8232410357955148037_n

Kelantan FC mengalami satu lagi kekalahan sukar diterima dalam saingan Liga Super. Facebook/Sabah FC

Bagaimanapun, tampil memberi kenyataan atas kekalahan memalukan kepada Sabah FC itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kelantan FC, Ahmad Muzakkir Hamid di laman Facebook peribadinya.

"Pertama saya minta maaf atas kekalahan demi kekalahan sehingga dibelasah teruk. Saya faham semuanya termasuk soal maruah.

"Saya telah nyatakan dari awal apabila kita tidak dapat daftar pemain, kita akan menerima nasib demikian apabila kita angkat pemain muda bermain," tulisnya.

Ketika jendela perpindahan kedua Liga Super, Kelantan FC gagal membawa masuk pemain baharu dengan FIFA menghalang urusan pendaftaran akibat isu pengurusan.

Masalah tersebut turut mendesak Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk memberikan kenyataan bagi menjawab segala kemusykilan mengenai situasi skuad TRW.

89717D1F-9C59-4606-A94D-6B2A97D18362

Norizam didesak untuk meninggalkan posisinya sebagai pemilik Kelantan FC.

Hal itu menyebabkan naib juara Liga Perdana 2022 berkenaan terpaksa bergantung kepada pemain muda dengan beberapa tonggak utama pasukan memilih untuk menamatkan kontrak masing-masing.

Tambah Muzakkir lagi, pihaknya juga akan mencari jalan penyelesaian untuk mendapatkan semula dana diperlukan bagi operasi kelab.

"Terima kasih juga kepada pemain, barisan pengurusan dan jurulatih, mereka memberi komitmen dan fokus 100 peratus atas kerja mereka.

"Semestinya pemilik 100 peratus berusaha untuk selesaikan masalah ini dan saya sebagai CEO 100 peratus berusaha ke arah membawa balik penaja-penaja, Insya-ALLAH," katanya.

Muzakkir dilantik sebagai CEO Kelantan FC pada Ogos 2023 dengan dia diberikan peranan untuk cuba menyelesaikan isu dialami pasukan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram