KEKALAHAN 0-7 kepada Sabah FC pada Isnin menjadikan skuad The Red Warriors (TRW) kelab dengan rekod pertahanan terburuk dalam sejarah Liga Super.
Selepas 23 perlawanan diharungi, pasukan Pantai Timur itu sudah dibolosi sebanyak 102 kali yang seolah-olah menceritakan nasib semasa kelab.
Ia juga menyaksikan Kelantan FC mengalami empat kekalahan Liga Super berturut-turut yang mana mereka tewas dengan jumlah skor cukup memalukan.
Nasib buruk tersebut juga dapat disaksikan dalam saingan Piala Malaysia dan MFL Challenge Cup yang mana skuad TRW tumpas secara memalukan kepada Johor Darul Takzim dan Kelantan United.
Situasi berkenaan pastinya menyentuh hati rata-rata penyokong pasukan tersebut yang tidak sanggup lagi melihat maruah mereka tercalar untuk setiap hari perlawanan.
Kelantan FC hanya menurunkan pemain muda dalam beberapa aksi kebelakangan ini. — Facebook/Sabah FC
Ada juga di antara mereka yang khuatir bahawa kekalahan terbabit hanya akan menjatuhkan moral pemain Kelantan FC yang majoritinya terdiri daripada ubi-ubi muda.
Perasaan itu turut dirasai pengendali Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee yang mengakui situasi tersebut hanya akan memberi kesan buruk kepada mereka.
"Jika kita lihat pasukan Kelantan, mereka bermain dengan pemain muda dan apabila mereka tewas setiap kali dengan jumlah begitu besar, saya rasa itu satu perkara yang cukup negatif.
"Impaknya kepada pemain muda akan lebih terasa apabila mereka mengharungi suasana yang cukup negatif yang mana daripada proses profesionalisme mereka mengharungi situasi seperti ini, mereka akan menjadi fobia," katanya.
Kim Swee berkata demikian dalam sesi sidang media selepas aksi antara kedua-dua pasukan yang diadakan di Stadium UiTM Shah Alam, Selangor.
Skuad Sang Badak kini berada di tangga keempat Liga Super. — Facebook/Sabah FC
Kekalahan berkenaan menyaksikan Kelantan FC kini terus terperosok di dasar carta Liga Super dengan hanya lapan mata diraih pasukan itu setakat ini.
Bagi skuad Sang Badak pula, kemenangan tersebut membolehkan mereka memintas Sri Pahang FC untuk menduduki tangga keempat hasil kutipan 45 mata daripada 23 perlawanan.
Tambah Kim Swee lagi, situasi dialami pemain muda Kelantan FC adalah cukup memilukan dengan dia melihat perkara sebegitu tidak sepatutnya berlaku.
"Dalam bola sepak, tiada istilah simpati ketika di atas padang. Tetapi, di luar, saya percaya ia merupakan satu perkara yang cukup menyedihkan.
"Ini tidak harus berlaku dalam bola sepak Malaysia, terutamanya dengan pemain-pemain muda. Jadi, saya berharap kita dapatkan satu formula terbaik untuk memastikan mereka masih mempunyai minat selepas ini," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram