'Impress' kelab lain jadi motivasi pemain, Vera beri bayangan tak habiskan liga bersama TRW


  • Podium
  • Selasa, 21 Nov 2023

Vera tiba di Kelantan pada Jun lalu bagi menggantikan Frank Bernhardt. — Facebook/TRW

PENDERITAAN Kelantan FC bertambah lagi selepas skuad The Red Warriors (TRW) menjadi santapan Sabah FC apabila tewas 0-7 di tangan Sang Badak dalam perlawanan Liga Super di Stadium UiTM Shah Alam, Selangor pada Isnin.

Kekalahan berkenaan juga menyaksikan kelab Pantai Timur tanah air itu merekodkan sejarah hitam baharu Kelantan apabila sudah dibolosi sebanyak 102 gol dalam 23 perlawanan Liga Super mereka setakat ini.

Pesta gol Sabah dengan jaringan dari Jafri Firdaus Chew pada minit ke-25 sebelum Farhan Roslan dan Rizal Ghazali menambah dua gol pada minit ke-29 dan 39, pada babak kedua pula Irfan Fazail, Telmo Castanheira, Ramon serta S.Kumaahran turut mencipta nama sebagai penjaring dalam aksi itu.

Walaupun ia adalah perlawanan yang sudah dijangka nasib tidak akan menyebelahi Kelantan, namun pujian wajar diberikan kepada anak-anak buah Alfredo Vera kerana masih sudi berjuang meskipun dihimpit dengan masalah dalaman.

Vera yang menjadi watak sebagai pengendali kelab berkenaan berkongsi bahawa dia kekal memberi motivasi kepada pemain walaupun sudah meramal keputusan perlawanan tidak menyebelahi mereka lagi-lagi berdepan dengan pasukan seperti The Rhinos.

11 trw

Kesebelasan utama TRW menentang Sabah pada Isnin. — Facebook/SabahFC

"Kita dah buat yang terbaik dengan pemain yang ada. Kita hanya ada tujuh pemain ke enam pemain dalam skuad, yang lain hanya diambil dari universiti. Yang positif dalam aksi ini ialah mereka bermain dengan dedikasi, berusaha dan boleh bermain dengan pasukan lagi kuat.

"Saya masih beri motivasi untuk bawa kemenangan walau tahu apa jadi. Saya tidak boleh nak marah sebab faham situasi sekarang. Saya ada di sini kerana ada tanggungjawab untuk pemain dan perlu jalankan perlawanan.

"Saya hanya cakap kepada mereka (pemain) harus manfaatkan kesempatan bermain kerana mungkin ada pasukan lain tengok mereka dan jika mereka bagus, mereka boleh dibawa ke pasukan lain," katanya dalam sidang media selepas perlawanan.

Dalam perkembangan berbeza, pengendali kelahiran Argentina itu juga memaklumkan menerima tawaran baharu daripada sebuah kelab di Indonesia dan seakan-akan memberi bayangan bahawa dia akan meninggalkan TRW dalam masa terdekat.

Jurulatih berusia 50 tahun itu tidak menafikan bahawa mahu meneruskan perjuangan bersama Kelantan namun masalah dalaman yang seolah-olah tidak menemui jalan penyelesaian itu membuka matanya untuk berhijrah ke pasukan lain.

"Harus menyelesaikan pertandingan ini tapi saya kemungkinan ada peluang daripada pasukan lain di Indonesia. Ada satu offer tapi masih dalam fasa perbincangan. Kemungkinan saya boleh keluar minggu ini.

"Belum tahu jika ia adalah perlawanan terakhir. Sebenarnya saya mahu habiskan liga bersama TRW tapi saya belum putuskan lagi. Saya suka di sini walau ada masalah dalaman tapi tapi saya harus fikir ke depan," kongsinya.

Untuk rekod, bekas pengendali Persita Tangerang itu tiba di bumi Kelantan pada Jun lalu bagi menggantikan Frank Bernhardt. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram