[VIDEO] Nor Farhan akui kena maki sebab tolak peluang sertai Kedah, pilih TRW


  • Podium
  • Isnin, 13 Nov 2023

Nor Farhan (kiri) berpeluang meraih pelbagai kejuaraan sepanjang beberapa musim bersama skuad TRW.

ZAMAN kegemilangan Kelantan FA dari 2010 sehingga 2013 boleh dikatakan berpunca daripada kehadiran bintang-bintang yang cukup hebat dalam posisi masing-masing.

Salah seorang yang boleh diletakkan sebagai tonggak utama pasukan ialah pemain tengah, Nor Farhan Muhammad atau juga lebih dikenali sebagai 'Ben 10'.

Kepantasannya dalam menggelecek bola dan kebolehan untuk melepaskan rembatan daripada luar kotak merupakan antara aset utama buat pemain tersebut.

Meskipun skuad The Red Warriors (TRW) dilimpahi pemain import berkualiti ketika itu, keistimewaan dimiliki Nor Farhan membolehkannya meraih tempat dalam kesebelasan utama pasukan.

Namun, di sebalik kisah kegemilangan Nor Farhan bersama Kelantan FA, terdapat satu kisah menarik dikongsikannya sebelum menyertai skuad TRW.

81511884256_MohdNorFarhanMuhamma

Nor Farhan pernah menempa nama sebagai antara pemain tengah tempatan terbaik.

Dalam satu sesi live TikTok baru-baru ini, pemain terbabit sempat berkongsi perihal berkenaan kepada beberapa bekas rakan sepasukannya iaitu Indra Putra Mahayuddin, Daudsu Jamaludin dan Zairul Fitree Ishak.

"Ketika itu, (mendiang) B Sathianathan kata kepada saya untuk bertemu Tan Sri (Annuar Musa) di rumahnya dan adakan perbincangan dengan saya ketika itu hadir bersama Daudsu.

"Selepas itu, kita memang tak berbincang sangat dan mereka tiba-tiba sahaja mengadakan sesi foto sebelum mengumumkan kami kepada pihak media sebagai pemain baharu skuad TRW," katanya.

Jelas Nor Farhan, situasi berkenaan mengakibatkannya serta Daudsu terpinga-pinga memandangkan mereka masih belum memuktamadkan perjanjian dari segi jumlah gaji dan lain-lain.

Ben 10 menyertai Kelantan FA pada 2009 selepas mencipta namanya dalam Liga Super bersama Terengganu FA dan PDRM FA dengan kelincahannya sukar dipertikaikan.

Sepanjang berada di negeri kelahirannya itu, Nor Farhan pernah meraih pelbagai kejuaraan bermakna, termasuk ketika kelab Pantai Timur itu menggodol kejuaraan treble pada 2012.

Namun, apa yang menarik di sebalik perpindahan itu adalah apabila dia menceritakan bahawa keputusannya tersebut menimbulkan rasa kurang senang antaranya dengan Indra Putra.

"Apabila saya balik sahaja ke rumah, saya beritahu kepada Indra bahawa saya dan Daudsu sudah menandatangani kontrak bersama Kelantan FA.

"Perkhabaran tersebut menyebabkannya mengeluarkan kata-kata kesat kerana dia memberitahu bahawa satu perjanjian sudah dibuat untuknya menyertai Kedah FA, tetapi saya hanya mendiamkan diri," kongsi Nor Farhan.

MALAYSIA_CUP_2012_SEMI_FINAL_(8414249718)

Indra Putra pernah beraksi bersama beberapa kelab Liga Super, termasuk Kelantan FA.

Berdasarkan gaya penceritaan pemain berkenaan, keputusan tersebut sukar diterima kerana ia akan mencalarkan imej masing-masing dengan Indra tidak mahu mengecewakan mana-mana pihak.

Namun, dengan kejadian tersebut berlaku kira-kira 10 tahun lalu, mereka jelas sudah melupakannya dan tidak mahu ia merosakkan persahabatan antara satu sama lain.

Indra Putra ketika itu juga boleh dianggap sebagai antara penyerang tempatan terbaik seperti mana dapat disaksikan di peringkat kelab bersama Selangor FA mahupun bersama skuad kebangsaan.

Jadi, tidak hairanlah apabila dia cuba disambar beberapa kelab Liga Super, termasuk Kedah FA yang pastinya sudah mengetahui kebolehannya akan menaikkan lagi kualiti skuad Sang Kenari.

Bagaimanapun, Indra kemudiannya memilih untuk menyertai skuad TRW dengan keputusan itu cukup tepat dalam menaikkan lagi namanya dalam kalangan peminat bola sepak tanah air. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram