Masalah gaji Kelantan, penangan YCL jadi ruang ubi muda raih minit permainan 


  • Podium
  • Selasa, 14 Nov 2023

Skuad TRW terpaksa menurunkan pemain muda setelah kehilangan khidmat bintang-bintang senior musim ini. — Facebook/TRW Kelantan FC

AWAL musim ini, Liga Malaysia (Liga M) sudah dikejutkan dengan masalah gaji dari Kelantan FC yang didedahkan oleh Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) selepas satu laporan dibuat pemain.

Sejak pendedahan sekitar Mei lalu itu, kem Kelantan FC seakan-akan tidak dapat lari daripada masalah apabila pelbagai isu dalaman lain timbul dan antara yang menyulitkan keadaan ialah kegagalan mendaftarkan pemain pada jendela perpindahan kedua.

Terdahulu, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengesahkan skuad The Red Warriors (TRW) difahamkan tidak boleh mendaftarkan empat pemain import mereka iaitu Ahmed Magdy, Aliakbar Ahmadi, Dennis Buschening dan Alie Sesay.

Menurut badan induk bola sepak negara itu, rayuan kali pertama yang dikemukakan FAM untuk pendaftaran tonggak import baharu Kelantan ditolak oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Susulan isu pendaftaran berkenaan, ada di antara pemain import tersebut sudah berhijrah ke pasukan baharu dan kelab Pantai Timur tanah air itu juga terpaksa menggunakan khidmat ubi muda dari skuad simpanan mereka.

Di satu sisi, masalah dalaman yang menimpa TRW itu menjadi platform untuk 'ubi muda' khususnya Bawah-21 tahun (B-21) untuk meraih minit permainan dalam saingan Liga Super dan sekali gus memberikan pengalaman beraksi dengan pemain senior.

WhatsApp Image 2023-11-14 at 11.22.39

Data minit permainan pemain B-21 yang dikeluarkan oleh atleadpass.

Oleh itu, tidak terkejutlah jika Kelantan menjadi kelab Liga Super yang banyak menggunakan pemain B-21 dengan 'ubi muda' skuad kendalian Alfredo Vera itu mengumpul sebanyak 4,800 minit setakat 23 perlawanan dalam liga tertinggi negara itu.

Berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh atleadpass itu turut menyaksikan Perak FC menghuni tempat kedua dengan barisan pemain muda The Bos Gaurus (TBG) merekodkan ,3600 minit dalam tempoh 23 perlawanan Liga Super.

Perkara itu jelas mencapai objektif skuad Seladang apabila di awal musim ini pihak pengurusan Perak pernah menegaskan untuk memberi lebih tumpuan kepada pemain muda tempatan berbanding import dalam kancah Liga Malaysia tahun ini.

perak ubi muda

Kualiti memberangsangkan pemain muda merupakan salah satu punca di sebalik kebangkitan skuad TBG musim ini. — Facebook/Perak FC

Malah, sentuhan Yusri Che Lah terhadap barisan pemain muda membuahkan hasil apabila mereka mampu memberi kejutan dalam Piala Malaysia dengan menewaskan kelab seperti Kedah Darul Aman (KDA) FC, Sabah FC sebelum tewas di tangan Johor Darul Takzim (JDT) pada saingan separuh akhir kejohanan itu.

Menerusi statistik dari atleadpass, Selangor FC menggunakan pemain B-21 seperti Mukhairi Ajmal, Zikri Khalili dan Harith Haikal sebanyak 2,800 minit permainan berhasil diraih mereka dalam 23 aksi Liga Super itu.

Sementara itu, penyerang sayap JDT, Arif Aiman Hanapi serta penjaga gol utama Negeri Sembilan FC, Sikh Izhan Nazrel masing-masing diberikan peluang untuk mengumpul 2,000 dan 1,960 minit dalam 23 aksi saingan Liga Super. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram