'Sikap tamak mesti ada dalam diri penyerang Harimau Malaya'


  • Podium
  • Selasa, 21 Nov 2023

Penyerang Harimau Malaya, Paulo Josue (jersi kuning) gagal mencetak jaringan selepas rembatannya tersasar ketika berdepan Republik Kyrgyz. — Facebook/FAM

KEBANGKITAN luar biasa skuad Harimau Malaya di babak kedua menyaksikan anak-anak buah Kim Pan-gon berjaya menewaskan Republik Kyrgyz 4-3 dalam aksi sulung Kumpulan D Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada Khamis.

Pada perlawanan tersebut, Malaysia yang dahulu membuka jaringan ketinggalan 1-3 sebelum bangkit bergaya dengan Faisal Halim menjaringkan gol kemenangan, dua gol diperoleh menerusi tandukan Dion Cools dengan Arif Aiman Mohd Hanafi menjadi watak utama keberhasilan empat gol termasuk gol sendiri skuad 'The White Falcons'.

Meskipun meraih kemenangan dengan penuh dramatik, terdapat juga beberapa penyokong tempatan yang mempersoalkan tindakan berani penyerang Kuala Lumpur (KL) City FC, Paulo Josue yang membuat percubaan luar kotak penalti pada minit ke-83 permainan.

Ramai beranggapan bahawa sikap kapten The City Boys itu mementingkan diri kerana melihat skuad kebangsaan berpeluang untuk mendapatkan jaringan awal sebelum gol kemenangan diledak oleh Faisal Halim.

WhatsApp Image 2023-11-20 at 17.07.53

Paulo (kanan) ketika mengawal bola daripada dirampas pasukan lawan. — Facebook/FAM

Tampil mengulas perkara tersebut, penganalisis sukan, Prof Madya Dr Zulakbal Abd Karim begitupun berpandangan bahawa sikap tamak Paulo itu wajar dan perlu dalam setiap diri seorang penyerang.

"Pada pandangan saya, memang seorang striker perlu ada sifat tamak dalam diri.

"Kalau dia tak tamak, naluri untuk menjaringkan gol kurang," katanya kepada Majoriti.

Zulakbal bagaimanapun tidak menolak pandangan penyokong yang berpendapat bahawa Paulo seorang yang tamak tapi beranggapan bahawa tonggak KL City FC itu perlu peka dengan situasi sekelilingnya.

"Tapi saya fikir dia perlu mengadaptasikan sifat dia dengan situasi dan pemain-pemain lain yang ada di sekeliling dia.

"Dia kena lebih peka kepada membuat keputusan iaitu mana yang lebih menguntungkan untuk pasukan sama ada dia skor sendiri atau assists kepada orang lain.

"Saya fikir kalau kita nak ubah sifat natural dalam diri striker agak sukarlah.

"Cuma lebih peka kepada keadaan yang mana lebih menguntungkan kepada pasukan," jelasnya lagi.

Di samping itu, Zulakbal turut menegaskan bahawa dalam setiap diri penyerang khususnya ketika beraksi bersama skuad kebangsaan perlu ada sifat tamak agar dapat membantu meningkatkan keyakinan untuk mencetak gol.

"Sifat tamak mesti ada dalam diri penyerang, kalau tiada sifat itu, dia tak boleh main penyerang, better main midfield.

"Ini yang kita panggil killer instinct iaitu naluri pembunuh.

"Sifat tamak striker itu perlu ada cuma dia kena kawal, tengok situasi mana yang lebih untung kepada pasukan," kongsinya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram